Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) dinasihatkan untuk menolak calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Puad Zarkashi.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu lagi, pengundi di kawasan itu seharusnya serik untuk memilih calon PN berdasarkan rekod yang membolehkan PRK diadakan pada 17 Ogos depan.

“Lebih baik beritahu Bersatu jangan silap hantar calon lagi. Menyusahkan rakyat. Nenggiri kena tolak calon dari Bersatu awal-awal lagi. Serik doh wei.

“Buat apa ahli Pas mengundi calon Bersatu, undi Bersatu sama macam mengundi biawak hidup. Akan ditipu kali kedua. (Tan Sri) Annuar Musa tidak peduli semua itu. Dia bukan Pas tulen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa yang yakin calon dipertaruh gabungan itu untuk mempertahankan DUN Nenggiri ‘lebih matang’ berbanding wakil Barisan Nasional (BN).

Pengarah operasi PRK Nenggiri itu juga berkata, calon itu adalah individu aktif dalam parti dan mempunyai pengalaman politik.

Mengulas lanjut, Puad yakin calon yang akan diketengahkan PN adalah calon berusia yang bukan tandingan dengan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang lebih muda dan berpengalaman.

“Annuar Musa kata calon Bersatu di Nenggiri ‘lebih matang’ berbanding calon orang muda BN. Dia jauh lebih ‘style’, lebih baik, lebih bagus, lebih segala galanya.

“Belum apa apa sudah cakap besar. Kita faham maksud lebih matang itu ialah calon dari Bersatu mesti orang yang sudah berumur,” kata Puad lagi.

Media semalam melaporkan Bersatu kemungkinan besar akan meletakkan calon langsung iaitu seorang pegawai kerajaan Kelantan di Dabong.

Laporan memetik sumber itu memberitahu, pimpinan parti dikatakan cenderung memilih Sun Najaman Muhamad mempertahankan Nenggiri pada PRN bulan depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast