Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut selepas melanggar belakang sebuah kereta di Lebuhraya Pasir Gudang, Pasir Gudang malam tadi

PASIR GUDANG – Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut selepas melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer 21.7 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada pukul 7.15 malam itu melibatkan lelaki yang menunggang motosikal jenis CFmoto dan Proton Saga FL dipandu seorang wanita warga emas.

“Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal berusia 54 tahun itu menunggang dari Kluang menghala ke Pasir Gudang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan hilang kawalan dan terlanggar belakang Proton Saga FL berkenaan yang dipandu wanita berusia 61 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut penunggang motosikal tersebut terbabas ke kanan jalan sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru sebelum menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan.

Siasatan katanya, dilakukan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan menyesuaikan kelajuan mengikut keadaan jalan supaya dapat berhenti semasa kecemasan tanpa tergelincir atau hilang kawalan. – MalaysiaGazette