Petugas pendaftaran pandu lalu sedia membantu kelancaran sesi pendaftaran di UMT.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbangga menerima dua (2) pelajar yang merupakan atlet Kebangsaan dalam sukan bola jaring dan sukan memanah.

Nur Azra Azmi 18, dan Mia Tifal  Noor Afendy, 17 masing-masing mendaftarkan diri di UMT dalam bidang Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Nur Azra merupakan atlet bola jaring kebangsaan berasal dari Kelantan, amat berbangga
terpilih untuk melanjutkan pelajaran di UMT kerana minatnya yang mendalam dalam bidang sains, dan percaya pilihannya adalah tepat berikutan UMT merupakan peneraju dunia STEM terunggul di Malaysia.

Tambahnya, kelebihan yang ada sebagai atlet kebangsaan akan di gunakan sebaiknya untuk sama-sama menaikkan nama UMT dalam sukan bola jaring.

Dia yang bermain di posisi petahanan menyifatkan bakatnya dalam sukan tersebut dicungkil sejak dibangku sekolah rendah.

Nur Azra berbangga memilih UMT sebagai pilihan pertama.

 

Memandangkan Nur Azra sebelum ini bersekolah di Sekolah Sukan, pengurusan masa antara sukan dan pelajaran dapat diseimbangkan dengan baik, malah harapannya apabila bersama UMT juga dia dapat mengekalkan pembahagian masa tersebut dengan lebih efisien.

Manakala bagi Mia Tifal yang berasal dari Pulau Pinang ini, pilihannya untuk mengikuti
pengajian dalam bidang Asasi STEM merupakan pilihan yang bukan mudah untuknya
memandangkan dia sebenarnya bukan dari aliran sains tulin semasa di sekolah menengah.

Namun berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang sians dan peluang yang diberikan UMT yang mana, kuota untuk pelajar bukan aliran sains bagi mengikuti pengajian Asasi STEM membuka peluang untukknya meluaskan lagi minatnya untuk menerokai bidang sains.

“Alhamdulillah terima kasih UMT atas peluang ini, insyaallah saya akan lakukan yang terbaik untuk mencapai cita-cita saya”.

Mia Tifal (kanan) berhasrat untuk majukan sukan memanah bersama pasukan UMT.

Ujar atlet memanah kebangsaan ini lagi, bakat yang ada dalam dirinya dalam sukan
memanah akan digunakan sebaikknya untuk sama-sama menaikkan nama UMT dalam sukan memanah serta sudi untuk berkongsi kepakaran kepada pelajar-pelajar lain yang berminat dalam sukan tersebut.

Untuk rekod, Asasi UMT sejak awal penubuhannya memberi ilmu STEM melalui gabungan
mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang diambil sepanjang
tempoh pengajian selama setahun di UMT.

Selain Nur Azira dan Mia Tifal, UMT turut menerima tiga pelajar orang asli bagi pendaftaran sesi ini.

Sementara itu Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni berkata, kemasukan dua pelajar atlet tersebut menjadi nilai tambah
untuk UMT dalam perkembangan sukan tersebut.

Ibu bapa teruja hantar anak-anak ke universiti.

“Saya berharap pelajar-pelajar baharu ini dapat memanfaatkan Minggu Jalinan Mesra (MJM) untuk lebih mengenali kampus UMT sekali gus bersedia menjadi mahasiswa yang berdaya saing.

“Suasana zaman persekolahan dan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) adalah berbeza.
Justeru, mereka perlu beradaptasi dengan suasana dan pengalaman baharu belajar di
kampus,” ujarnya.

UMT menerima 416 pelajar sempena sesi pendaftaran kemasukan pelajar Diploma Perikanan dan Asasi STEM Sesi 2024/2025 secara fizikal yang berlangsung pada
hari ini.

Mereka adalah terdiri daripada 337 pelajar Asasi STEM dan 79 pelajar Diploma
Perikanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast