Jason (tengah) meninjau lokasi operasi pihak bomba di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Cuaca panas berlarutan dikatakan punca tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini terbakar semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kebakaran membabitkan keluasan 3,500 meter persegi (m2) itu dikesan berlaku 12.05 tengah hari dan ia berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan penyelamat pukul 11 malam.

Seramai 117 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bersama pasukan bomba sukarela serta petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlibat dengan operasi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu.

“Tindakan pemadaman awal telah dijalankan oleh kakitangan MBSP yang bertugas namun disebabkan keadaan yang berangin kencang, kebakaran tidak dapat dikawal sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Pihak bomba membuat kawalan secara water curtain supaya kebakaran tidak terus merebak ke kawasan lain manakalan MBSP pula membantu membuat fire-break bagi mengepung kawasan yang terbakar.

“Pemadaman seterusnya dilakukan menggunakan kaedah penggemburan sisa dan semburan air dan api berjaya dipadam sepenuhnya pukul 11 malam,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut, Jason berkata, langkah-langkah pencegahan akan dilaksanakan oleh MBSP untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di masa akan datang.

“MBSP juga akan menambah lori tangki sebagai persediaan awal sekiranya kejadian ini berulang,” katanya.

Media pada Januari 2022 melaporkan tapak pelupusan sampah itu terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi yang kemudian ia diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara selepas kebakaran berkenaan mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Kejadian itu turut menyebabkan dua pusat pemindahan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang berdepan masalah pencemaran udara. – MalaysiaGazette