KUALA LUMPUR- Genap berusia 68 tahun pada 1 Julai lalu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan, telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik sosioekonomi peneroka.
Namun, kata pakar, masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan kemampanan pertumbuhan serta kemandirian kewangan peneroka, khususnya dalam mendepani perubahan landskap ekonomi semasa.
Antara yang boleh dilakukan adalah menubuhkan koperasi yang beroperasi berdasarkan prinsip “koperasi sebenar”.
Pakar pemasaran pertanian dan penganalisis dasar Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata bagi memastikan kemampanan pertumbuhan, adalah penting bagi peneroka FELDA menjadi sebahagian daripada koperasi yang “dioperasikan sebagai sebuah koperasi sebenar.”
“Maksudnya di sini ialah sebuah koperasi yang ditubuhkan oleh peneroka untuk peneroka… koperasi sebenar yang mematuhi prinsip ‘pengguna-pemilik’, ‘pengguna-kawalan’, dan ‘pengguna-faedah’.
“Mereka yang memiliki dan membiayai koperasi adalah juga yang menggunakannya. Mereka mengawal koperasi, dan satu-satunya tujuan koperasi adalah memberi faedah kepada pengguna berdasarkan penglibatan mereka,” jelasnya kepada Bernama.
Fatimah yang juga Felow Perunding dan Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia, berkata walaupun FELDA mempunyai sebuah koperasi, iaitu Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF), organisasi itu tidak memenuhi tuntutan prinsip “koperasi sebenar”.
“KPF ada manfaatnya tetapi bukan peneroka yang mengawal kerana organisasi ini ditadbir oleh (pegawai) FELDA, menyebabkan peneroka tidak dapat membina kemahiran keusahawanan mereka,” katanya.
KOMUNITI PENEROKA YANG PROGRESIF
Ditubuhkan menerusi Ordinan Kemajuan Tanah 1956, FELDA memainkan peranan dalam pembangunan tanah dan penempatan semula rakyat melalui penubuhan Tanah Rancangan FELDA yang ditanam dengan kelapa sawit dan getah.
Agensi ini menghentikan pengambilan baharu pada 1990 selepas berjaya menempatkan 112,635 peneroka di 317 buah tanah rancangan di seluruh negara.
Pada 1996, kerajaan menghentikan penyaluran peruntukan operasi kepada FELDA bagi membolehkan agensi itu berdiri sendiri, yang seterusnya menyaksikan FELDA menubuhkan beberapa entiti korporat untuk melengkapkan rantaian nilai aktiviti terasnya.
Dari satu sudut, FELDA berjaya memainkan peranannya dalam meningkatkan taraf hidup peserta menerusi pelbagai program pertanian, namun masih ramai daripada mereka yang kekal sebagai kumpulan berpendapatan rendah B40.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata koperasi seperti KPF harus dipacu oleh peneroka sendiri, kerana hanya dengan cara itu segala keperluan dan kepentingan peneroka dapat ditangani secara langsung.
“Pendekatan ini mengupayakan peneroka untuk terlibat dalam pengurusan dan hala tuju koperasi, memupuk rasa pemilikan dan kebertanggungjawaban.
“Model ini memastikan peneroka mengurus dan membuat keputusan bagi koperasi mereka, meliputi keseluruhan rantaian bekalan, bermula dari pengeluaran,” katanya.
Beliau percaya dengan menerima guna strategi itu, FELDA dapat mewujudkan masyarakat peneroka yang mampan, mandiri serta progresif, sekali gus menjamin kejayaan ekonomi jangka panjang serta berdaya saing.
Katanya, peranan FELDA pada ketika itu hanyalah sebagai agensi penyokong yang mempermudah, selain menyediakan latihan, sumber dan prasarana bagi membantu koperasi yang diwujudkan.
“Pendekatan ini akan menghasilkan peneroka yang mandiri, mampan dan progresif serta mengurangkan kebergantungan mereka pada geran dan bantuan kerajaan,” tambahnya lagi.
CONTOHI MODEL KOPERASI BERJAYA
Menurut Fatimah, FELDA boleh mencontohi beberapa model koperasi yang berjaya, antaranya Fonterra di New Zealand, AMUL di India, dan Mondragon Corporation di Sepanyol.
(Fonterra Co-operative Group Ltd – dimiliki oleh peladang menerusi pegangan saham – adalah pengeluar dan pemasar produk tenusu, sementara Gujarat Cooperative Milk Marketing Federation Ltd, lebih dikenali sebagai Amul, merupakan organisasi apeks koperasi tenusu di Gujarat, India, dan Mondragon Corporation pula adalah persekutuan koperasi pekerja berpangkalan di Basque, Sepanyol)
Mengambil contoh Mondragon, Fatimah berkata koperasi itu dikenali dengan tadbir urus yang demokratik, tanggungjawab sosial dan pembangunan mampan yang menjaga kebajikan kira-kira 70,000 pekerja dengan pusing ganti bernilai €10.61 bilion.
“Kejayaan model ini mengetengahkan potensi sesebuah koperasi untuk berkembang tanpa campur tangan syarikat berkaitan kerajaan,” tambahnya.
Satu lagi contoh ialah Koperasi Pasar Chow Kit Road yang menganjurkan kerjasama antara kaum Melayu, Cina dan India.
“Pemupukan semangat koperasi dapat mengurangkan konflik akibat persaingan. Koperasi ini menyatupadukan pemilik perniagaan kecil daripada pelbagai kaum, memastikan sokongan bersama serta pembangunan komuniti.
“Model ini menunjukkan bagaimana peneroka boleh bekerja bersama, merentasi perbezaan budaya dan bersama-sama menikmati faedah ekonomi yang diperoleh daripada koperasi,” jelasnya.
FELDA PERLU BARISAN PENGURUS CEKAP
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Kampus Rembau, Nor’Azurah Md Kamdari pula berpendapat isu sosioekonomi peneroka tidak dapat diselesaikan hanya dengan membenarkan mereka menguruskan sendiri koperasi.
Jelasnya, secara tradisi, FELDA menggunakan konsep koperasi dalam membangunkan tanah untuk peneroka.
“Konsep koperasi itu dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu pada fasa pertama, peneroka belajar berladang (tanaman komoditi). Dalam fasa kedua, setiap peneroka diberikan sebidang tanah dan di fasa ketiga mereka diberikan hak milik tanah itu.
“Pada pandangan saya, jika peneroka FELDA diberikan hak mengurus hal ehwal mereka sendiri, akan timbul isu tadbir urus tidak cekap. Bagi menguruskan sesebuah organisasi, perlu ada ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi memastikan pengurusan yang berkesan,” jelasnya.
Menurut Nor’Azurah, memberikan hak kepada peneroka untuk membuat keputusan berhubung pentadbiran FELDA tidak akan menyelesaikan isu-isu berbangkit dalam organisasi itu.
“Cabaran dalam pengurusan FELDA adalah pada kepakaran dan pengalaman barisan pengurusannya yang mesti berkemampuan membuat keputusan yang bijak, menangani isu dengan berkesan dan mempamerkan kreativiti dalam menguruskan hal ehwal FELDA,” tegas beliau.
— BERNAMA