Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Pemandu lori sebuah kilang pembuatan di sini maut selepas tersepit antara kenderaan tersebut dengan rak besi di kilang berkenaan pada Sabtu lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian pukul 9 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 64 tahun maut di lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pemandu lori di kilang tersebut dan sebelum kejadian telah menghidupkan enjin lori tanpa memasuki ruang memandu untuk memulakan kerja harian.

“Bagaimanapun, lori berkenaan dipercayai telah bergerak ke hadapan sebaik sahaja mangsa menghidupkan enjin sekali gus mengakibatkan dia tersepit antara lori dan rak besi yang berada bersebelahan dengan lori tersebut.

“Setakat ini, kita telah keluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan untuk membuat pembentangan kes kepada kami,” katanya hari ini.

Tanbah kenyataan itu, JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja serta membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

“Kita memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor selain sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast