Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Mohd Akil, Batu Pahat, hari ini. Foto ihsan IPD Batu Pahat

BATU PAHAT – Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbalik atas longkang di Jalan Mohd Akil di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika kereta mangsa datang dari Jalan Bakau Chindog menuju ke Jalan Syahbandar.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Chung Woon Kim, 51, hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman badan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar tampil membantu siasatan.

Mereka katanya, boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat talian 07-4343999.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II Azri Giman berkata, 10 anggota dibantu masing-masing sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Pihak bomba mengeluarkan mangsa dari dalam longkang menggunakan ‘stretcher’ dan pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” ujarnya.

Mayat mangsa katanya, diserahkan kepada pihak polis dan operasi selesai pada pukul 8.01 pagi. – MalaysiaGazette