Teksi itu direka bentuk seperti piring terbang dalam filem sains fiksyen. Foto - The Jam Press

BEIJING – Sebuah teksi terbang berbentuk piring terbang telah berlepas dan mendarat secara menegak (evTOL) dalam ujian penerbangan di China, kelmarin.

Kenderaan yang kelihatan seperti objek tidak dikenali (UFO) itu mempunyai kapasiti dua penumpang dan boleh dikendalikan secara manual atau autopilot dari jauh oleh juruterbang.

Menurut pencipta, Wang Yang, teksi UFO itu boleh terbang sehingga ketingga 198.12 meter dan berada di ruang udara selama 15 minit.

“Inovasi ini telah dibangunkan syarikat UAV Zhenzhen Zhihang yang berpangkalan di selatan China.

“Selain itu, ianya juga akan mempunyai pemandangan 360 darjah tanpa titik buta dan sistem pencahayaan yang besar.

“Walaubagaimanapun, kami tidak dapat memberi tarikh yang tepat bila teksi ini akan digunakan untuk operasi.

“Maklumat mengenai harga yang akan ditawarkan untuk teksi UFO ini juga masih belum dikenalpasti,” katanya.

Namun, teksi terbang itu telah berjaya melepasi semua pemeriksaan keselamatan dan mendapat sijil layak terbang pada Mac yang lepas.- Agensi