Sun Najaman

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seharusnya mencalonkan anak Nenggiri bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu sekiranya ingin mengekalkan kerusi berkenaan.

Menurut sumber, gesaan itu disuarakan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu sedang mempertimbangkan untuk mencalonkan salah seorang daripada dua calon yang disenarai pendek iaitu Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad.

Sumber itu turut berkata, Sun Najaman adalah anak tempatan dari KESEDAR Sungai Asap dan merupakan calon yang paling layak untuk mewaliki gabungan tersebut.

“Majoriti kepimpinan PN mahukan Sun Najaman sebagai calon cumanya ada tekanan daripada kepimpinan dalam PN yang inginkan Sheikh Razali jadi calon.

“Sun Najaman lebih bagus dicalonkan pada PRK ini kerana dia anak peneroka dan PN boleh gunakan kelebihan beliau untuk mengekalkan kerusi DUN Nenggiri.

“Beliau adalah pemegang Diploma Perakaunan UiTM Machang sementara Sheikh Razali hanya ada SPM dan berdasarkan tinjauan di kawasan rata-rata pengundi mahukan Sun Najman,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketika berita ini ditulis, PN masih berteka-teki untuk mengumumkan calon mereka bagi berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Antara alasannya adalah pencalonan itu perlu mengambil kira pandangan Pas Gua Musang.

Untuk rekod, Sun Najaman merupakan Penggawa (Penghulu Kerajaan Negeri) di Dabong manakala Sheikh Razali adalah ahli Bersatu yang juga bekas Ketua Pergerakan Ppemuda UMNO Gua Musang.

Tambah sumber itu lagi, PN amat memerlukan undi peneroka dan Sun Najaman adalah calon terbaik untuk gabungan tersebut.

“Sun Najaman adalah orang tempatan yang lahir di Nenggiri dan Sheikh Razali adalah orang (DUN) Galas (DUN bersebelahan Nenggiri). Kalau Bersatu angkat Sun Najaman, pengundi akan pilih sebab sebelum ini calon yang diketengahkan bukan duduk di situ,” katanya lagi.

Sebelum ini, Bersatu berkata, pihaknya akan memastikan calon yang ditampilkan parti itu untuk bertanding pada PRK Nenggiri turut diterima baik oleh Pas.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata perkara itu penting bagi memastikan proses berkempen sepanjang PRK berjalan lancar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast