Onn Hafiz (empat kiri) bersama-sama penerima yang mendapat sumbangan semasa melawat Felda Tenang dan Pekan Air Panas di Labis, Segamat, semalam

SEGAMAT – Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM54 juta dalam tahun ini untuk membaik pulih dan membina rumah baharu untuk rakyatnya yang miskin tegar dan kurang berkemampuan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan
menerusi Belanjawan Johor 2024 itu melibatkan RM32 juta bagi inisiatif bina rumah yang baharu melibatkan 328 unit.

“Sebanyak RM22.79 juta lagi bagi inisiatif baik pulih rumah melibatkan 1,368 unit.

“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa menitikberatkan penyediaan kediaman yang selesa buat Bangsa Johor,” ujar beliau menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkannya selepas melakukan lawatan di dua buah rumah di Labis dekat sini semalam yang menerima bantuan berkenaan.

Beliau meninjau kediaman penerima inisiatif Bina Baru Rumah, Mohd Basari Dahlan di Jalan Ahmad Felda Tenang.

Hadir mengiringi kunjungan Menteri Besar Johor ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman.

“Terharu dan begitu gembira terukir di wajah beliau serta keluarga apabila rumahnya telah siap dibina baru dengan kos sebanyak RM65,000.

“Pembinaan rumah ini adalah bagi golongan kurang berkemampuan yang mempunyai pemilikan tanah sama ada secara tunggal atau secara bersama yang akan dibina diatas tanah mereka,” katanya.

Beliau kemudiannya ke lokasi penerima inisiatif Baik Pulih Rumah, Dollah Alias di Kampung Juaseh, Pekan Air Panas.

Menurutnya, kos sebanyak RM15,000 diperuntukan untuk baik pulih rumah Dolllah yang melibatkan pembaikan bumbung, kerja-kerja mengecat dan pembersihan kawasan sekitar.

“Semua ini berkat kerjasama semua pihak yang hasilnya telah memberi manfaat buat mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau merakamkan terima kasih kepada semua agensi, jabatan dan pihak yang terlibat dalam penyelarasan projek berkenaan sehingga siap antaranya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Penyelarasan itu katanya, penting agar maklumat dan data yang tepat dapat diperolehi seterusnya membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

“Semoga inisiatif baik ini mampu meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor serta memberi isyarat bahawa Johor serius menangani isu miskin tegar serta membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Insya-Allah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette