UMUMNYA, kebanyakan penilaian antarabangsa terhadap Malaysia baru-baru ini menunjukkan trend penurunan terutamanya daripada perspektif politik dan ekonomi.
Antara yang paling sensasi dibangkitkan ialah penurunan dalam Ranking Daya Saing Dunia (World Competitiveness Ranking, WCR) 2024 oleh International Institute for Management Development (IMD). Malaysia jatuh dari tangga ke-27 ke tangga ke-34. Turut dipersoalkan ialah penurunan dalam Indeks Tatakelola Baik Chandler (Chandler Good Government Index, CGGI) 2024. Malaysia jatuh dari tangga ke-34 ke tangga ke-39.
Namun, tidak semua petunjuk mencatatkan penurunan di mana Skop keselamatan dan ketenteraman awam menunjukkan trend menokok. Ini tidak pula dirai.
Pada 12 Jun lalu Malaysia diumumkan naik sembilan anak tangga dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index, GPI) 2024 yang disusun oleh the Institute for Economics and Peace untuk menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman daripada 163 negara di dunia.
Ini sudah semestinya satu kejayaan besar bagi Kerajaan Perpaduan untuk menaikkan kedudukan negara dari tempat ke-19 pada 2023 dan tempat ke-32 waktu GPI diperkenalkan pada 2008.
Lebih signifikan lagi, semua negara yang berada di atas dari Malaysia mempunyai bilangan penduduk jauh lebih kecil berbanding Malaysia menjadikan lebih mudah menjaga keamanan.
Pemenang tempat pertama, Iceland, hanya mempunyai kira-kira 390,000 penduduk. Tempat ke-2, Ireland, kira-kira 5 juta. Tempat ke-3, Austria, kira-kira 9 juta. Tempat ke-4, New Zealand, kira-kira 5 juta. Tempat ke-5, Singapura, kira-kira 6 juta.
Tempat ke-6, Switzerland, kira-kira 9 juta. Tempat ke-7, Portugal, kira-kira 10 juta. Tempat ke-8, Denmark, kira-kira 6 juta. Dan tempat ke-9, Slovenia, kira-kira 2 juta.
Bandingkan dengan bilangan penduduk Malaysia yang kira-kira 35 juta, sudah semestinya tanggungjawab mewujudkan keamanan di negara berbilang kaum ini jauh lebih sukar.
Lebih membanggakan, mengikut laporan yang dikeluarkan, Malaysia memegang kedudukan teratas di dunia dalam domain Konflik Domestik dan Antarabangsa yang Berterusan.
Kenaikan kedudukan Malaysia ini pula berlaku di tengah-tengah kemerosotan tahap purata keamanan global yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.56 peratus dari tahun 2023.
Kementerian mana di Malaysia ini yang diberi tanggungjawab utama untuk mewujudkan keamanan? Pastilah ia adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini Menterinya adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Visi dan Misi KDN amat jelas. Visinya ialah supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat dan selamat. Misinya pula ialah memastikan keselamatan dalam negeri terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Pada hemat saya, Indeks Keamanan Global ini paling penting berbanding indeks-indeks lain. Jika negara tidak aman sudah pasti kedudukan sosial dan ekonomi negara tidak akan maju. Penduduk susah untuk mengembangkan diri manakala pelabur asing, pelancong dan rakyat luar tidak akan datang jika sering berlaku konflik, perselisihan, jenayah, dan kejahatan sosial lain di negara ini.
Oleh itu mengapa Saifuddin tidak diberi pujian atas prestasi cemerlangnya sebaliknya dikritik? Tidak lain tidak bukan kebarangkalian untuk ada agenda peribadi pengkritik tidak boleh dinafikan sama sekali. Malah lebih teruk lagi sehari dua ini ada pula beberapa kumpulan masyarakat sivil picisan yang sehari dua ini mendesak Perdana Menteri untuk melucutkan jawatan Saifuddin pula.
Semua tahu Menteri Dalam Negeri (MDN) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga keamanan dan ketenteraman negara. Peranan utama beliau termasuk memastikan semua agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan tugas dengan efisien dan adil, menjamin keselamatan dalam negeri daripada ancaman dalam dan luar negara serta mengawal selia isu berkaitan imigresen, kewarganegaraan, dan status penduduk tetap.
Sebagai MDN, sudah banyak kejayaan dilakar oleh Saifuddin selain mewujudkan keamanan negara. Antara lainnya beliau telah berjaya memperkenalkan pembaharuan dalam sistem imigresen Malaysia, termasuk mempercepatkan proses permohonan visa dan memperkenalkan penggunaan teknologi terkini untuk mengesan aktiviti haram di sempadan negara.
Prinsip ihsan dirai hebat oleh KDN dalam aspek pengurusan tahanan. Saifuddin perkenalkan Baitul Mahabbah untuk menempatkan sementara tahanan kanak-kanak dari depot imigresen ke suatu tempat yang jauh lebih kondusif untuk golongan berkenaan sebelum dihantar pulang ke negara asal. Sehingga kini, tiga buah pusat masing-masing di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sudah diluncurkan menempatkan 170 orang kanak-kanak. Manakala tiga lagi pusat yang sama akan diluncurkan di Kedah, Johor dan Kelantan pada tahun ini.
MDN juga menjenamakan semula Jabatan Penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan dengan menerapkan pendekatan pembangunan koreksional terhadap Prospek (banduan) dalam seliaannya. Program lain seperti parol, Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan pemulihan dalam komuniti terus diperkasa.
Kedudukan Malaysia dalam US Department of State Trafficking in Person Report juga menunjukkan trend peningkatan. Tahun 2022, Malaysia di tahap ketiga dalam laporan berkenaan. Setahun berikutnya, kita naik ke tahap Tier 2 (Watchlist). Kepimpinan Saifuddin membawa Malaysia keluar daripada Tier 2 (Watchlist) kepada Tier 2 dalam penilaian terkini Amerika Syarikat pada tahun 2024.
Kadar jenayah indeks di Malaysia juga menunjukkan trend penurunan yang amat signifikan. Sasaran ditetapkan di bawah RMK-12 adalah 238 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk. Pun begitu, pada tahun 2023, bilangan kes jenayah indeks adalah pada kadar 149 dan sehingga Jun 2024, bilangan kes terus dilaporkan menurun kepada 72 sahaja.
Tempoh masa respon polis terhadap kes kecemasan melalui panggilan MERS juga ditambah baik dari semasa ke semasa dengan trend peningkatan daripada 13 minit kepada 11 minit dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini.
Dalam perkara berkaitan kewarganegaraan, KDN mencapai indeks prestasi utamanya yang diumumkan, iaitu memproses 10,000 permohonan sedemikian setiap tahun di mana dia memproses lebih daripada 11,500 permohonan sedemikian pada 2023.
Komitmen Saifuddin pada tahun 2024, 17,000 keputusan permohonan kewarganegaraan dimuktamadkan. Sehingga Jun 2024, 9,048 keputusan permohonan kewarganegaraan atau 53% daripada sasaran sudah dimaklumkan kepada pemohon.
RUU pindaan perlembagaan dalam isu kewarganegaraan juga mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. KDN komited meneruskan sesi penerangan dan libat urus serta mengambil maklum penambahbaik prosedur yang perlu dilaksana segera. Ini termasuklah melakukan penyelidikan ke atas 840 akta sedia ada dan akta sama di negara-negara lain.
Baru 18 Julai lalu RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat bagi memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahguna dadah dan bahan.
Dalam pada itu, sesi Dewan Rakyat kali ini turut meluluskan RUU Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA). Tujuannya, bagi menjadikan sistem penyampaian di pintu masuk dan sempadan negara lebih cekap dan pantas, menambahkan kutipan hasil negara, meningkatkan koordinasi antara agensi dan menghapus ketirisan serta isu integriti.
Perihal pekerja asing juga diurus teliti dan ditambah baik berlandaskan empat pendekatan yang jelas iaitu memudah cara urusan kemasukan pekerja asing, mengurangkan kos migrasi, menjaga kebajikan pekerja serta melindungi kepentingan majikan.
Ini adalah hanya sebahagian daripada pencapaian Saifuddin sejak memegang jawatan Menteri Dalam Negeri pada 5 Disember 2022.
Kesimpulannya, adalah sangat tidak adil untuk mana-mana pihak menilai kepimpinan Saifuddin atau mendesak beliau dipecat dengan hanya berdasarkan insiden kecil seperti pergelutan antara polis dan peserta perarakan mengenang mendiang Teoh pada 15 Julai lalu.
Saifuddin telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperbaiki sistem penguatkuasaan undang-undang dan memastikan hak asasi manusia dihormati. Oleh itu, beliau wajar diberikan sokongan penuh untuk meneruskan usaha-usaha cemerlang beliau di KDN.
Penulis, Prof. Dr. Mohd Kamarul Nizam Abdullah, adalah Felo Utama di Pusat Kajian Asia, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ketua Kluster Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN)