KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh penduduk di negeri itu.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan rencam suku kaum, dan menjadi faktor pengikat yang menjamin kesatuan, perpaduan dan kasih sayang.
Ujar beliau, Sarawak kini juga menjadi antara negeri yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara.
“Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memberi dukungan agar kita dapat secara bersama memungkinkan kesejahteraan buat seluruh rakyat Sarawak,” katanya.
Penduduk Sarawak hari ini menyambut Hari Sarawak ke-61 bertemakan Sarawak Maju Makmur dengan Bintulu menjadi tuan rumah bagi acara rasmi sambutan tersebut.
Sambutan itu sempena hari peringatan penubuhan kerajaan pertama Sarawak pada 1963 dengan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama. – MalaysiaGazette