KUALA LUMPUR – UMNO menolak wujudnya gerakan baharu yang menggerakkan perbincangan antara parti itu dan Pas dalam membentuk kerjasama baharu.

Setiausahanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan itu mungkin dibuat di kalangan ahli ataupun penyokong parti dan bukannya kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Saya Setiausaha Agung UMNO pun tak tahu (perbincangan kerjasama baharu) kalau nak berbincang ia berbincang dengan kepimpinan.

“Macam saya dengar pemimpin Pas bincang dengan Pakatan Harapan (PH) pun boleh berbincang,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional-Pakatan Harapan Bagi Pilihanraya Kecil Dun Nenggiri, Kelantan di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi mengulas pertanyaan media mengenai laporan wujud perbincangan antara pemimpin Pas dan UMNO bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan be­berapa siri pertemuan bersama pe­mimpin UMNO berlaku ketika ini.

Pertemuan itu, kata Ahmad Fadhli, dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin-pemimpin utama UMNO-Pas sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang terkubur sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sru Abdul Hadi Awang masih memegang jawatan Presiden. – MalaysiaGazette