Perbincangan sewaktu lawatan delegasi Republik China yang diketuai China Online Education and Chinese Universities bersama wakil daripada 7 instistusi pendidikan tinggi negara berkenaan ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

MELAKA – Kecemerlangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di pentas dunia terus menarik minat tujuh universiti dari China untuk menjalin kerjasama strategik sekali gus meneguhkan hubungan dua negara.

Perkara ini antara intipati perbincangan bersama hasil lawatan delegasi China yang diketuai China Online Education and Chinese Universities bersama wakil daripada 7 instistusi pendidikan tinggi negara berkenaan ke Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Ia terdiri daripada Jiangnan University, Northeast Agricultural University, Nanjing University of Finance & Economics, Nanjing Medical University, Gansu Normal University for Nationalities, Guangdong Polytechnic of Technology dan Harbin Institute of Technology, Shenzhen.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, terdapat tiga fokus utama dalam rangka pengisian kerjasama strategik ini yang diminta oleh rangkaian institusi berkenaan.

Jelasnya, pihak UTeM terharu dengan hasrat dan kesungguhan mereka untuk menjayakan kerjasama berimpak tinggi ini sekali gus mewarnai keunikan dan perkongsian kepakaran bersama di rantau Asia.

Katanya, pertama adalah tertumpu kepada program pengajian dua hala yang memberi tumpuan kepada pertukaran pelajar dalam kedua-dua bidang akademik dan budaya yang mana pelajar dari China berpeluang belajar di UTeM manakala pelajar UTeM pula berpeluang belajar dan menikmati persekitaran pembelajaran di China.

“Fokus kedua adalah projek lawatan sambil belajar tertumpu pada tema penyelidikan khusus seperti pemuliharaan warisan budaya, kajian alam sekitar dan amalan pertanian moden.

“Manakala agenda ketiga berkisar kepada kerjasama penganjuran pameran pendidikan dan seminar akademik yang menghimpunkan cendekiawan dan pakar dari kedua-dua negara untuk berkongsi penemuan penyelidikan, bertukar idea dan memupuk wacana akademik antara dua negara,” ujarnya.

Dalam lawatan dan perbincangan tersebut pihak UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifile Ibrahim yang mewakiliNaib Canselor.

Prof Zulkifilie berkata, rentetan itu pihak UTeM turut menyatakan kesediaan untuk membuka ruang pengisian tambahan dalam konteks kerjasama yang lebih melebar dalam beberapa perspektif lagi.

“UTeM menawarkan tambahan pengisian kerjasama dalam empat medium yang lebih pelbagai dan berkait langsung dengan usaha penyerlahan persilangan akademia dan anjakan penyelidikan dua negara.

“Ia melebar kepada kerjasama dalam konteks program ijazah berkembar, Work Base Learning (WBL), pembangunan pusat pembelajaran rantau Asia dan program pertukaran pelajar secara bersepadu,” katanya sewaktu mempengerusikanperbincangan tersebut. – MalaysiaGazette