Majlis Perasmian Operasi AirAsia di LTSAAS berlangsung hari ini.

SUBANG – AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah utama ASEAN kembali ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas 23 tahun bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu pada 30 Ogos ini.

LTSAAS sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, keputusan untuk kembali beroperasi di LTSAAS sebagai lapangan terbang kedua kumpulan di Kuala Lumpur selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang ditawarkan.

Menurut beliau, pengembangan operasi itu akan memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan terbesar negara berdasarkan rangkaian dan kapasiti.

“Lokasi lapangan terbang ini yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk para tetamu di kawasan setempat selain itu, saiznya yang lebih kecil.

“Jumlah penumpang yang lebih rendah akan memastikan perjalanan lebih lancar untuk pengembara sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan pilihan, serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Operasi AirAsia di LTSAAS di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia kembali ke Lapangan Terbang Subang selepas 23 tahun bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu pada 30 Ogos ini.

Fareh menambah, operasi di LTSAAS juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan.

Jelas beliau, operasi tambahan itu dijangka mendorong fasa pertumbuhan seterusnya bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.

“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

“Ini akan merealisasikan visi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau ini.

“Kami optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam kami di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada para tetamu,” katanya.

Sementara itu, bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 termasuk semua* sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99 termasuk semua sehala termasuk bagasi daftar masuk 15 kilogram percuma.

“Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp dan airasia.com bermula hari ini sehingga 28 Julai ini untuk tempoh perjalanan antara 30 Ogos ini hingga 8 Oktober 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast