Shaharuddin didakwa atas 13 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang bekas juruteknik di sebuah syarikat di Pengerang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas 13 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,900 empat tahun lalu.

Tertuduh, Shaharuddin Sulong, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM500 hingga RM2,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,900 melalui akaun miliknya bagi memudahkan pemeriksaan kemasukan kenderaan dan peralatan kerja sebuah syarikat jentera berat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Kota Tinggi antara 12 November 2020 sehingga 25 Februari 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya SRPM, Nur Zahida Mohd Razi manakala tertuduh diwakili Peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan perlu lapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 19 Ogos ini. – MalaysiaGazette