Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin dalam prosiding yang berjalan lebih tiga jam.

Ia bagi membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi kesemua tertuduh sebelum ini.

Mereka adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobarin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kini semuanya berusia 28 tahun.

Ketika membacakan keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun.

“Dalam kes ini, kami sebulat suara mendapati faktor-faktor yang memberatkan hukuman adalah mengatasi faktor-faktor peribadi kesemua tertuduh.

“Pada hemat kami, hukuman wajar ialah empat tahun penjara. Oleh itu, hukuman penjara tiga tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun dari tarikh sabitan,” ujarnya. – MalaysiaGazette