Ibu bapa mangsa bunuh kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, sujud syukur selepas hadir mendengar perbicaraan rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Sujud kesyukuran dan air mata mengiringi kedua ibu bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osma Zulkarnain selepas enam individu terlibat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Selepas selesai prosiding berlangsung lebih tiga jam sejak pukul 9.10 pagi, Zulkarnain Idros, 60, dan Hawa Osman, 59, terus keluar dari mahkamah dan melakukan sujud syukur dengan keputusan tersebut.

Bapa mangsa, Zulkarnain berkata, ia merupakan satu kelegaan buat mereka sekeluarga dan keadilan kepada arwah anaknya dapat ditegakkan ekoranikutan hukuman yang dikenakan ke atas enam bekas penuntut UPNM yang mendera dan membuli anaknya tujuh tahun lalu.

“Pertamanya, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana telah memakbulkan doa kami sekeluarga dan doa seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini.

“Jutaan terima kasih juga kepada barisan peguam, pendakwaraya yang begitu hebat dapat membuktikan adanya niat membunuh ke atas anak kami.

“Terima kasih juga buat hakim Mahkamah Rayuan kerana membuat keputusan yang tepat dengan mengenakan hukuman gantung kepada pesalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya mengenai perasaan mereka selama ini, Zulkarnain berkata, dia dan isteri sudah ‘kering air mata’ menangis mengenangkan kes kematian anaknya itu.

Namun hari ini, doa mereka termakbul doa mereka supaya keadilan menyebelahi atas kematian Alahyarham Zulfarhan.

“Semasa hakim membacakan fakta kes, kami semua bersyukur dan dapat agak keputusan akan menyebelahi allahyarham malah peguam dapat mematahkan hujah daripada pihak peguambela.

“Satu kelegaan apabila #justice4farhan telah dapat dicapai pada hari ini namun saya difahamkan ada satu lagi proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi untuk pesalah lain,” ujarnya.

Zulkarnain berkata, mereka sekeluarga berasa sedih apabila mendengar Ketua Hakim membaca fakta kes dari awal kejadian buli tersebut.

Beliau juga memaklumkan, selama ini mereka tidak tahu cerita sebenar perbuatan buli dan tindakan yang dilakukan oleh kesemua suspek ke atas mangsa.

Ibu mangsa bunuh kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, Hawa Osman dan yang lain menunjukkan gambar anaknya selepas hadir mendengar perbicaraan rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 23 JULAI 2024.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) yang menyebabkan kematian Allahyarham Zulfarhan Osman.

Keputusan itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin dalam prosiding yang berjalan lebih tiga jam.

Ia bagi membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi kesemua tertuduh sebelum ini.

Mereka adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin; Mohamad Shobarin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang semuanya kini berusia 28 tahun.

Sementara itu, seramai 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun serta-merta.

Untuk rekod, kesemua tertuduh yang ketika itu kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bunuh Zulfarhan: 6 penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati