Majlis Profesor Negara (MPN) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah antara lapan Syarikat Kerajaan Persekutuan yang audit ke atasnya dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 4 Julai melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Pengauditan pengurusan lapan syarikat ini adalah untuk mengukur pencapaian objektif penubuhan syarikat melalui tiga aspek yang dinilai, iaitu tadbir urus korporat, kedudukan kewangan dan pengurusan aktiviti utama syarikat. Skop pengauditan pula meliputi tahun 2019 hingga 2023.
Dari sudut tadbir urus korporat, MPN bersama-sama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) didapati tidak memuaskan tadbir urus korporatnya manakala satu syarikat lain, iaitu MARA Incorporated Sdn. Bhd (MISB), didapati kurang memuaskan tadbir urus korporatnya.
Selepas laporan LKAN 2/2924 dibentangkan di Parlimen, maka berlegarlah dalam media massa laporan mengenai penyalahgunaan dana dalam MPN kerana didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi dibuat tanpa kelulusan menteri yang berkaitan dan sebagainya.
Laporan begini pastinya mencalar imej dan reputasi MPN yang diluluskan penubuhannya oleh Kabinet pada 3 Februari 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik bagi membantu usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
Penubuhan MPN adalah diilhamkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 1 April 2010 sebagai sebuah Program Khas di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
MPN diletakkan di bawah JPM pada 21 Mac 2014 dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) untuk membolehkan ia beroperasi sebagai sebuah entiti bebas, berautonomi serta bergerak merentasi sempadan kementerian.
Sepanjang penubuhannya, banyak sekali program dan aktiviti berimpak tinggi yang memberi fokus untuk membantu negara mencapai pembangunan mampan dalam setiap aspek yang telah berjaya dilaksanakan oleh MPN selaras dengan logo MPN sebagai Pemikir Negara.
Walaupun begitu, disebabkan persepsi perkaitan antara MPN dengan UMNO-Barisan Nasional (BN), setelah BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Kerajaan PH yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembubaran MPN pada 23 Mei 2018.
Ini diikuti oleh pemakluman rasmi Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada tarikh sama yang menyatakan bahawa MPN, yang sebelumnya mempunyai Perdana Menteri sebagai Penaung dan KSN sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA), adalah ‘dibubarkan’ serta merta.
Namun begitu, dengan semangat penubuhannya ke arah menyumbang dan membantu pembangunan negara maka MPN terus bergerak secara bersendirian sebagai badan bukan kerajaan dengan pembiayaan sendiri untuk terus menjadi pemikir negara yang bertanggungjawab.
Ini berterusan sehinggalah MPN menerima pemakluman rasmi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 8 November 2021 bahawa kerajaan bersetuju membuat pengiktirafan semula (re-instatement) MPN sebagai kumpulan pemikir kerajaan dalam agenda pembangunan negara.
Oleh itu, dalam tempoh antara 23 Mei 2018 sehingga 8 November 2021, MPN sudah tidak menerima sebarang peruntukan atau dana daripada JPM atau Kementerian Kewangan, maka ia tidak sepatutnya diaudit oleh Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM) bagi tempoh berkenaan.
Dalam tempoh ini, MPN terpaksa membuat beberapa keputusan segera untuk memastikan kelangsungannya seperti dengan mewujudkan dua buah Syarikat Sdn Bhd bagi membantu dan menyelamatkan kedudukan kewangan MPN, khasnya bagi mendapatkan dana untuk beroperasi.
Tindakan dan keputusan MPN dalam tempoh ‘grey period’ inilah yang banyak dibangkitkan dalam LKAN 2 bahawa operasi MPN tidak dibuat mengikut tata kelola yang tepat sedangkan dalam tempoh ini MPN sudah tidak tertakluk kepada kerajaan dan dananya juga adalah bercampur.
Memang perlu diakui bahawa MPN ada kekurangannya dalam aspek tadbir urus korporat, dan kita difahamkan bahawa MPN juga telah mengeluarkan dua buah Syarikat Sdn Bhd yang menjadi isu dalam LKAN 2, tetapi kekurangan ini perlu dilihat dalam konteksnya yang betul.
Amat tidak patut jika keributan ini digunakan untuk ‘membunuh’ atau ‘mengambil-alih’ MPN atas apa-apa tujuan lain, termasuk mungkin tujuan politik, kerana MPN selama ini bergerak secara bebas dari pengaruh politik kepartian di samping membantu mana-mana kerajaan sedia ada.
Perlu diingat bahawa sewaktu Perikatan Nasional (PN) memerintah, MPN melalui program Bicara Tokoh-nya yang berpengaruh telah memberi ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan segala visi dan pandangan beliau dalam satu program pada 10 April 2021.
Anwar sendiri merakamkan penghargaan buat MPN atas peluang dan ruang berdiskusi dalam mana beliau menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan moderator dan peserta terkait isu politik negara, ekonomi dan perjuangan reformasi.
Dalam satu lagi program Bicara Tokoh MPN pada 13 April 2021, ruang yang luas juga telah diberikan oleh MPN kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, untuk berbicara mengenai pelbagai isu, termasuk gabungan parti-parti politik dalam satu ‘Khemah Besar’.
Sejak Kerajaan Perpaduan memerintah, banyak program dilangsungkan oleh MPN termasuk membicarakan isu rasionalisasi subsidi diesel, Brazil, Russia, India, China, South Africa (BRICS), Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Sustainable Development Goals (SDG).
Selain itu, bagi mendukung kerajaan semasa, koleksi kajian ilmiah berkaitan Kerajaan Madani juga telah diterbitkan oleh MPN. Pihak MPN juga difahamkan akan menganjurkan Kongres Profesor Negara ke-III (KPN-3) yang membincangkan isu-isu pembangunan negara.
Tegasnya, apa-apa penilaian ke atas MPN perlu dibuat secara objektif, holistik dan komprehensif. Ia tidak seharusnya disaluti dengan apa-apa unsur hasad dengki sesama sendiri atau elemen-elemen negatif lain yang bertujuan untuk memastikan suara MPN akan dapat dikawal.
Muhammad Afifi Abdul Razak adalah seorang penganalisis sosio-politik Malaysia