Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berminat untuk membeli kereta terpakai khususnya kereta import dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Saranan itu digesa apabila penjualan kereta terpakai semakin tepu sehingga pengusahanya mengambil tindakan terdesak menipu pembeli atau menawarkan jaminan tempoh waranti lebih panjang.

Ini termasuk meningkatkan perbatuan kepada 250,000 kilometer atau umur kereta hingga 15 tahun selain melanjutkan waranti merangkumi komponen kritikal.

Menurut pengasas aplikasi SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, pihaknya sering mendapat aduan pengguna yang menjadi mangsa penipuan kereta recond dan kereta terpakai tempatan sejak hari pertama SCRUT dilancarkan.

Antaranya, pelakon Sofi Jikan hampir ditipu penjual ketika dia mahu membeli kenderaan terpakai apabila mendapati maklumat yang diberitahu penjual tidak sama selepas semakan dibuat melalui SCRUT.

Kereta tersebut dikatakan merekodkan jumlah perbatuan 122,000 kilometer dan tanpa terlibat kemalangan namun setelah disemak, jumlah perbatuan sebenar adalah 144,000 kilometer yang direkodkan sejak 2019 selain ada kesan kemalangan teruk.

Soerang lagi pelakon, Iman Zulkarnain juga mengalami nasib sama ketika hendak membeli kereta di salah sebuah syarikat penjualan kenderaan terpakai yang didakwa mempunyai jumlah perbatuan 90,000 kilometer dan tanpa rekod kemalangan.

Bagaimanapun setelah disemak dengan SCRUT, laporan terakhir perbatuan sebenar ialah 160,000 km dengan rekod kemalangan yang teruk.

“Apa yang saya boleh nasihatkan adalah masyarakat perlu cakna bagaimana cara untuk mengelak daripada ditipu kapitalis jahat yang sudah lama menguasai pasaran dengan menipu masyarakat.

“Antaranya adalah dengan menggunakan aplikasi SCRUT untuk menyemak sejarah dan maklumat kereta yang hendak dibeli atau membawa kereta yang hendak dibeli ke bengkel-bengkel kereta yang mereka percayai untuk melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang hendak dibeli,” kata Nik Muhammad Izwan dalam satu kenyataan.

Seorang pengarah bengkel kereta di ibu kota, SCRUT AUTO, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin pula berkata, kerajaan telah melakukan tindakan bijak apabila menaikkan nilai tuntutan di tribunal pengguna daripada RM20,000 ke RM50,000.

Hal itu menyebabkan lebih ramai mangsa penipuan kereta terpakai bangkit menuntut hak mereka di tribunal kerana kerugian mereka selama ini melebihi RM20,000 apabila ditipu oleh penjual kereta terpakai.

Katanya, terdapat banyak tuntutan di tribunal pengguna telah dimenangi oleh pihak mangsa sejak pihaknya aktif memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Untuk rekod, jumlah jualan kereta terpakai di negara ini kekal sekitar 400,000 hingga 450,000 unit setahun sejak 30 tahun lalu, berbanding kenderaan baharu merekodkan hampir 800,000 unit tahun lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pembeli dan pengguna tak perlu risau kerana Malaysia sudah pun terkenal dgn negara pengimport besi buruk dgn kegilaan pengimport kereta membawa masuk kereta recon dan ditambah dgn lambakan besi buruk yg sedia ada dlm negara dimana terdapat banyak kereta yg melebihi 20 tahun.

Comments are closed.