MELAKA – Kerajaan Melaka bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu papan iklan tumbang di Bachang dan Banda Hilir di sini minggu lalu yang didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia selepas perkara itu cuba dipolemikkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Ketua pembangkang itu dilaporkan akan membuat laporan terhadap SPRM berhubung isu integriti papan iklan berkenaan di Pejabat SPRM negeri di Alai pukul 11 pagi esok.
“Kalau mereka (pembangkang) rasa ada sesuatu kesalahan yang mereka rasa nak laporkan kepada SPRM, itu hak mereka tapi perlu ingat mereka juga pernah berada dalam kerajaan.
“Kadang-kadang masalah yang kita hadapi sekarang ini diwarisi dari kepimpinan terdahulu. Mungkin juga dari zaman mereka, tapi dipihak saya bukanlah untuk salahkan sesiapa sebaliknya lakukan sehabis baik,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Kampung Bukit Gedong, Jalan Tanjung Kling di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi.
Media sebelum ini melaporkan, dua papan iklan yang tumbang di Bachang dan Banda Hilir dalam kejadian angin kuat awal pagi 14 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen dikeluarkan PBT.
Perkara itu didedahkan Rais sambil meminta kesemua empat PBT memantau dan memeriksa semua papan iklan di negeri itu bagi memastikan ia berlesen dan pemasangannya mengikut prosedur yang ditetapkan
Mengulas lanjut, Rais yang juga ADUN Paya Rumput mengulangi komitmen memastikan keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan kes terbabit.
“Saya sudah arahkan semua jabatan dan agensi terlibat supaya ambil tindakan dan melakukan siasatan sewajarnya memastikan kejadian begini tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette