KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program khusus Kolej Tingkatan Enam Premium yang dijangka bermula tahun hadapan.
Ia bagi memastikan aliran tingkatan enam terus menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu akan diadakan secara silang kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi beberapa program penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam.
Jelas beliau, perbincangan dengan KPT kini sedang berjalan serta diperhalusi dan akan diumumkan apabila semua peringkat penyelarasan telah selesai.
“Inisiatif ini bagi memastikan kedudukan, pencapaian, peranan serta sumbangan pelajar STPM dalam bidang-bidang lain dapat kita berikan tumpuan.
“Mudah-mudahan dengan kerjasama ini, kita dapat meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan majlis penyampaian anugerah pelajar terbaik peringkat kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan MUET 2023 di Majlis Peperiksaan Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan dengan memperbaiki dan menjenamakan semula Tingkatan Enam supaya menjadi antara pilihan utama pelajar lepasan SPM.
Jelas beliau, pihaknya juga mahu melihat lepasan STPM terus diberikan pengiktirafan dan mendapat tempat bukan sahaja di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan malah di luar negara.
“Ini adalah perkara-perkara yang mesti kita sentiasa berikan semangat kepada anak-anak kita (lepasan STPM) yang mana pengiktriafan ini sangat tinggi nilainya khususnya apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya.
Ditanya berkenaan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, Fadhlina berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat belanjawan tahun ini.
“Kita (KPM) telah maklumkan bahawa itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan mereka (pelajar) dan usaha ini akan kita teruskan termasuk membuat dan mengangkat idea atau cadangan ini ke peringkat belanjawan pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette