MELAKA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak pelancong sehingga mendatangkan kecederaan di Jonker pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Alif Syazwan Mohd. Asr, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Mengikut pertuduhan, beliau dengan niat didakwa telah melakukan rompakan tanpa senjata sehingga mendatangkan kecederaan kepada penama Ramky Raji dan melarikan wang tunai USD100 dengan anggaran nilai lebih kurang RM470.
Perbuatan itu dilakukan di Jonker Car Park, Jalan Portugis, Kampung Dua, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.05 petang 15 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, ia memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan didenda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan kanun yang sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak bekerja dan mempunyai ibu dan bapa.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 2 September depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette