SEPANG – Pusat Satelit Ekspatriat (ESC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mengeluarkan sebanyak 6,625 pas setakat 21 Julai lalu.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sejumlah 22,462 keseluruhan pas imigresen telah dikeluarkan dalam tempoh itu termasuk pas yang dikeluarkan menerusi ESC KLIA Terminal 2 dengan purata 714 pas disahkan dalam tempoh sebulan.
“Peningkatan bilangan ekspatriat yang direkodkan ini membuktikan Malaysia telah menjadi salah satu destinasi pilihan bagi syarikat multinasional dan pelabur sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi negara selain menjana peluang pekerjaan,“ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Satelit Ekspatriat (ESC), di KLIA Terminal 2, di sini, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, ESC KLIA Terminal 2 ini telah mula beroperasi sepenuhnya 24 jam setiap hari dengan kekuatan seramai empat orang pegawai yang bergilir mengikut shif.
Tambah Saifuddin lagi, pengoperasian ESC mencerminkan kesungguhan dan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dengan kerjasama TalentCorp dan anak syarikatnya MYXpats, dalam memudahcara urusan imigresen yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurutnya, bilangan ekspatriat tertinggi adalah dari India, Eropah dan China dengan sektor pekerjaan mereka adalah dari pendidikan, kejuruteraan pembuatan serta minyak dan gas.
“Saya tadi sempat menemu bual dengan dua ekspatriat dari Scotland dan India dan mereka mengesahkan proses pengurusan untuk mendapatkan pas ekspatriat sangat mudah,” katanya.
ESC berperanan sebagai pusat pengeluaran pas Imigresen untuk ekspatriat, profesional dan tanggungan mereka yang diluluskan, membenarkan tinggal dan bekerja serta-merta di Malaysia, dan memintas tempoh menunggu 30 hari sebelumnya.
Antara jenis pas yang dikeluarkan adalah Pas Penggajian (EP), Pas Tanggungan (DP), Pas Lawatan Ikhtisas-Pakar (PLIK), Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS), Pas Residen-Talent (RP) dan Pas Tanggungan Residen-Talent. – MalaysiaGazette