SEPANG – Kerajaan Perpaduan menasihati rakyat Malaysia yang masih berada di Dhaka, Bangladesh agar berwaspada dengan ketegangan yang berlaku di sana dan tidak menyertai sebarang rusuhan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gesaan itu dibuat agar tidak timbul isu ketegangan domestik terhadap pelajar mahupun rakyat negara ini yang berada di sana.
“Saya tanya dalam kalangan mereka, ada ke tidak pelajar terlibat (ketengangan di Bangladesh) dan jawapannya tidak. (Ditanya) ada casualties atau kecederaan (jawapannya juga) tidak.
“Bagusnya pelajar kita, jelas apa berlaku adalah domestik isu. Mereka tahu peranan sebagai pelajar dan keutamaan mereka adalah keselamatan nyawa,” katanya dalam sidang media di klia2 di sini hari ini.
Terdahulu Saifuddin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kepulangan 123 rakyat Malaysia yang selamat menjejakkan kaki ke tanah air.
Mengulas keadaan di sana, beliau berkata, rakyat Malaysia yang berada di ibu negara Bangladesh itu menghadapi beberapa kesukaran antaranya sekatan Internet dan telekomunikasi.
“Sekatan Internet dan telekomunikasi di Bangladesh merencat dan beri kesan kepada usaha Suruhanjaya Tinggi dan kementerian untuk menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan.
“Walau kekangan ini wujud namun pihak suruhanjaya tinggi boleh manfaat teknologi sedia ada dengan menggunakan SMS (sistem pesanan ringkas),” katanya lagi.
Saifuddin turut berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan psikologi kepada pelajar dan ahli keluarga yang terkesan susulan ketegangan di Bangladesh bagi mengurangkan tekanan semua pihak yang berada di negara tersebut.
“KPT tampil dengan pakar psikologi yang urus keluarga dan pelajar kerana komunikasi psikologi tidak sama dengan kita.
“Sebahagian saya boleh tengok secara zahir nampak terkejut. Keadaan seperti ini memerlukan peranan pegawai psikologi untuk keluarga dan pelajar,” katanya.
Semalam, perdana menteri berkata, kerajaan akan memberi keutamaan kepada semua pelajar Malaysia yang terkesan untuk dibawa pulang susulan protes semakin memuncak.
Kata Anwar, langkah itu dibuat dengan mengambil kira keselamatan pelajar terlibat ekoran situasi rusuhan bertambah getir sejak kebelakangan ini.
Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
Malaysia menjadi negara kedua selepas India yang melakukan pemindahan warganya berikutan protes di Bangladesh meragut lebih 130 nyawa sejak pertengahan Julai. – MalaysiaGazette