KUALA LUMPUR- Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekumpulan matawang utama lain ekoran peserta pasaran menanti pengumuman inflasi Malaysia, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, ringgit didagangkan 4.6780/6850 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding 4.6805/6835 ketika ditutup semalam.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Jabatan Statistik dijangka mengumumkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) esok bagi melihat impak rasionalisasi subsidi diesel.
“Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 yang jauh lebih baik berbanding jangkaan menunjukkan ekonomi Malaysia kekal mapan walaupun terdapat kebimbangan terhadap peningkatan kos hidup.
“Ini memberi gambaran bahawa Bank Negara Malaysia tidak mengikut jejak langkah global untuk melonggarkan dasar monetari semasa bagi mengekalkan sokongan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit dijangka kekal pada paras semasa susulan ketidaktentuan global dan peserta pasaran masih menantikan pengumuman IHP.
Ringgit meningkat berbanding Yen kepada 2.9809/9858 ketika dibuka pagi tadi berbanding 2.9869/9892 petang semalam.
Matawang tempatan itu juga kukuh berbanding British pound iaitu 6.0487/0577 berbanding 6.0514/0553 dan naik kepada 5.0939/1015 Euro berbanding 5.0971/1003 sebelumnya.
Pretasi ringgit terus mengukuh berbanding matawang-matawang lain Asean.
Bagaimanapun, Ringgit didagangkan tidak berubah berbanding Peso Filipina pada paras 8.01/8.03.-BERNAMA