Penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM bergambar beramai-ramai selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2024.

SELAYANG – Jazlina A/P Jusoh, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang memperoleh 4A dengan  Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu bertekad untuk mengubah nasib keluarganya.

Bekas pelajar SMK Sulaiman, Bentong ini diumumkan sebagai Pelajar Cemerlang Orang Asli dalam  keputusan STPM 2023 yang diadakan di Dewan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), di sini, hari ini.

Jazlina A/P Jusoh

“Segala penat lelah, kesusahan yang saya lalui sepanjang menduduki tingkatan enam membuahkan hasil dan saya sangat gembira kerana dapat memenuhi impian ayah saya yang mahu melihat anaknya berjaya dalam peperiksaan.

“Kini, saya bercadang untuk menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengejar cita-cita saya menjadi seorang guru,” katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemu ramah tadi.

Muhamad Rafiuddin Mohamad Hisham

Sementara itu, Muhamad Rafiudin Mohamad Hisham yang mendapat anugerah calon terbaik kategori kelainan upaya (buta) pula berkata, dia tidak menyangka jatuh bangun dialami ketika di aliran tingkatan enam akan membawanya menaiki pentas hari ini.

“Sebagai pelajar tingkatan enam, kesusahan bukanlah setakat di dewan peperiksaan malahan ia menguji kekuatan mental sama ada pelajar atau tidak untuk menghabis pengajian tingkatan enam dengan bahan-bahan pelajaran yang sukar serta bertukar setiap semester.

“Bukan senang untuk seorang pelajar kelainan upaya seperti saya untuk mencapai kejayaan ini, jadi saya amat berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan guru-guru yang telah banyak mengorbankan masa untuk membantu saya dalam proses belajar,” ujar pelajar St.John’s Institution, Kuala Lumpur itu.

Rafiudin kini sedang menunggu tawaran menyambung pelajaran yang terbaik dan tepat untuk kecapi impiannya menjadi seorang pensyarah.

Muhammad Hadiz Norazlin

Sementara itu, Muhammad Hadiz Norazlin dari SMK Tinggi Muar, Johor dipilih sebagai Pelajar Aliran Sains Terbaik kategori bumiputera.

Katanya, tingkatan enam bukan laluan pertamanya selepas tamat Sijil Pelajaran Sekolah (SPM) dan di sekolah, dia merupakan orang terakhir yang mendaftar sebagai pelajar STPM.

“Tidak dinafikan beberapa minggu yang pertama, saya berasa agak risau kerana apa yang saya jangka tentang tingkatan enam selama ini salah sama sekali.

“Tingkatan enam ada penanda aras tersendiri dan jika saya mempunyai peluang kedua, saya tidak akan teragak-agak untuk menjadi pelajar STPM lagi.

“Calon STPM sains tulen dalam kalangan pelajar Melayu sangat sedikit, sejujurnya memang susah dan mereka yang mahu mengambil aliran ini perlu mempunyai kefahaman yang mendalam,” kata Hadiz yang berminat untuk menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perubatan.

Yeoh Cheng Ti

Selain itu, seorang lagi pelajar cemerlang aliran sains, Yeoh Cheng Ti berkata, untuk cemerlang dalam peperiksaan bukanlah setakat perlu menghafal kerana pelajar perlu memahami dengan lebih jelas serta menuntut ilmu dengan hati yang ikhlas.

“Sepanjang menduduki tingkatan enam, saya mendapat banyak sokongan mental dan nasihat daripada keluarga, rakan-rakan dan para guru yang semestinya membantu saya berdiri di sini untuk mengambil anugerah.

“Untuk perjalanan saya selepas ini, saya bercadang untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia di UM,” tambahnya.

Sebanyak 19 orang pelajar cemerlang STPM daripada pelbagai kategori telah diraikan dalam majlis pengumuman peperiksaan itu di Dewan Besar MPM, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast