Anas Shafwan Muhammad Sobirim (dua dari kanan) berasal dari Rompin Pahang hadir bersama keluarga pada hari pendaftaran.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kumpulan pertama program Asasi Agrisains menerusi saluran UPU Online pada sesi pendaftaran pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) universiti itu.

Seramai 468 pelajar mendaftar program Asasi di UMS tahun ini dengan jumlah 40 daripadanya program Asasi Agrisains, 96 Asasi Teknologi Maklumat dan 332 Asasi Sains.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, pelajar-pelajar Asasi Agrisains tersebut akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan selepas tamat pengajian asasi kelak.

“Ini merupakan salah satu inisiatif UMS untuk menambah pelajar dalam bidang pertanian dan sekali gus menambah bilangan keperluan graduan dan tenaga kerja dalam sektor pertanian apabila mereka tamat pengajian.

“Pada masa kini, kampus UMS Sandakan mampu menampung seramai 1,000 pelajar dalam satu masa. Maka dengan adanya program Asasi Agrisains ini, kita dapat meningkatkan jumlah pelajar bidang pertanian di kampus tersebut.

“Kita berbesar hati menerima pelajar bukan sahaja dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung untuk mengikuti program asasi sains di UMS,” katanya ketika hadir sesi ramah mesra bersama pelajar baharu program Asasi UMS, baru-baru ini.

Tambah Kasim, bagi pelajar-pelajar program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat pula akan melanjutkan pengajian menerusi program ditawarkan di fakulti-fakulti sains UMS yang akan merancakkan bidang STEM dan TVET.

“Bidang STEM dan TVET amat penting pada masa kini justeru, UMS turut bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan negara mampu melahirkan pelajar dan graduan unggul dalam bidang tersebut,” ujarnya.

PPST UMS ditubuhkan pada tahun 2010 dengan misi untuk membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas pengetahuan sains yang kukuh untuk bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya. – MalaysiaGazette