Pengurusan tertinggi UMT beramah mesra dengan sekumpulan pelajar baharu.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sejumlah 416 pelajar baharu sempena pendaftaran pelajar bagi sesi 2024/2025.

Jumlah itu mewakili pecahan 337 orang pelajar program asasi STEM manakala 79 orang bagi mengikuti program pengajian jurusan Diploma Perikanan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya berkata, mahasiswa perlu bertekad dan beriltizam dalam menimba ilmu bagi membalas jasa serta harapan ibu bapa
dan seterusnya menyumbang kepada negara.

“Sebagai golongan terpelajar, anda dipandang dan diletakkan pada kedudukan tinggi oleh masyarakat. Masyarakat mengharapkan anda menjadi pewaris kepimpinan, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan dan perubahan serta sumber modal insan dalam pembangunan negara,” katanya ketika berucap semasa Majlis Ikrar Pelajar sempena Minggu Jalinan Mesra 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT.

Sesi pendaftaran pelajar baharu sesi 2024/2025 turut menyaksikan wakil kaum orang asli antara lain yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke UMT.

Mohd Irwanshah Zainal, 17, bersyukur atas penerimaan tawaran melanjutkan pengajian di UMT bagi sesi ini.

“Sebagai pelajar dari kaum orang asli, saya amat berbangga dan saya mahu buktikan kaum orang asli turut boleh cipta kejayaan setanding dengan kaum-kaum lain di negara ini. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan dari komuniti saya untuk terus berusaha mencapai impian mereka.

“Terima kasih UMT kerana memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian di UMT dan saya akan manfaatkan peluang ini sebaiknya, insyaAllah,” katanya yang berasal dari Pontian, Johor.

Irwanshah antara tiga orang pelajar mewakili kaum orang asli yang berjaya bersaing dengan ribuan calon lepasan SPM untuk menyambung pengajian di UMT dalam jurusan yang berlainan.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera pada tahun 1979 untuk memberikan pendidikan tinggi dan penyelidikan dalam bidang perikanan, sains marin dan sumber alam.

Sejak penubuhannya, UMT telah berkembang secara signifikan dan menawarkan pelbagai program dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, pengurusan dan kelautan.

Pelbagai pencapaian telah diraih UMT melalui pengiktirafan dari dalam dan luar negara seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) Impact Rankings dalam penyelidikan marin, perikanan, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar. – MalaysiaGazette