Sebahagian daripada pelajar terbabit mengikuti program STEM anjuran UTeM di sekolah mereka.

MELAKA – Berteraskan sikap prihatin dan cakna terhadap masa depan pendidikan anak-anak orang asli maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program pemindahan kepakaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), baru-baru ini.

Program ini telah melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak yang terdiri daripada pelajar darjah 3 hingga 6.

Pengarah Program, Muhammad Izz Khairol Bahry berkata, UTeM mengambil pendekatan turun ke padang di sekolah berkenaan dan menyampaikan kepentingan program STEM kepada anak-orang asli di peringkat sekolah rendah lagi.

Jelasnya, menerusi program ini, mereka mendedahkan teknologi terkini seperti dron, pencetakan 3D, kereta solar dan pen pencetak 3D kepada murid-murid itu.

“Dengan mengajar mereka teknik mengendalikan dron, menggunakan pencetak 3D dan membina kereta solar, pelajar bukan sahaja lebih tertarik dengan bidang ini tetapi juga mendapat keyakinan dan motivasi untuk berjaya dalam teknologi dan kejuruteraan.

“Agenda ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM malahan berjaya menyuntik inspirasi kepada mereka untuk mencapai cita-cita tinggi dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Program ini mendedahkan mereka kepada pengetahuan yang sukar diperoleh di sekolah biasa kerana mereka terlibat secara langsung dan praktikal merasai pengalaman teknologi terkini secara nyata, ujar beliau yang merupakan pelajar Tahun 2 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, UTeM.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka UTeM menjayakan program pemindahan kepakaran STEM baru-baru ini melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak yang terdiri daripada pelajar darjah 3 hingga 6.

Pada masa yang sama, UTeM turut telah menyediakan kit STEM seperti dron, kereta solar, dan pen pencetak 3D kepada pelajar sekolah, memperluaskan lagi peluang pembelajaran mereka.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Dr. Nadlene Razali menyatakan pendidikan STEM ini merupakan elemen berharga yang dapat mencorak kehidupan lebih cemerlang kepada mereka untuk menghadapi masa depan.

“Dengan sokongan jitu dan berterusan menerusi pendidikan STEM juga menjadi dimensi yang mampu mengangkat komuniti orang asli mencapai kesetaraan dan kemakmuran kemajuan sama dengan masyarakat di luar sana, katanya lagi.

Mewakili pihak Sekolah Kebangsaan Batu 14, Penolong Kanan Pentadbiran, Sarina Metuhu, menyampaikan terima kasih kepada UTeM yang sudi menjayakan program sebegini bagi membuka minda pelajar mereka tentang kepentingan pendidikan STEM.

“Kami amat berbesar hati dan sentiasa memberikan sokongan dan galakan sepenuhnya kepada para pelajar untuk mengambil peluang ini secara langsung bersama pihak universiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette