Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program pemindahan kepakaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), baru-baru ini melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak yang terdiri daripada pelajar darjah 3 hingga 6.

MELAKA – Berteraskan sikap prihatin dan cakna terhadap masa depan pendidikan anak-anak Orang Asli – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program pemindahan kepakaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) baru-baru ini.

Program itu melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Batu 14, Tapah, Perak yang terdiri daripada pelajar darjah tiga hingga enam.

Pengarah Program, Muhammad Izz Khairol Bahry berkata, UTeM mengambil pendekatan turun ke padang di sekolah berkenaan dan menyampaikan kepentingan program STEM kepada anak-orang asli di peringkat sekolah rendah lagi.

Mereka menggunakan pendekatan yang agak berbeza dengan mendedahkan teknologi terkini seperti drone, pencetakan 3D, kereta solar dan pen pencetak 3D kepada Orang Asli.

“Dengan mengajar mereka teknik mengendalikan drone, menggunakan pencetak 3D dan membina kereta solar, pelajar bukan sahaja lebih tertarik dengan bidang ini tetapi juga mendapat keyakinan dan motivasi untuk berjaya dalam teknologi dan kejuruteraan.

“Agenda ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM malahan berjaya menyuntik inspirasi kepada mereka untuk mencapai cita-cita tinggi dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Program ini mendedahkan mereka kepada pengetahuan yang sukar diperoleh di sekolah biasa kerana mereka terlibat secara langsung dan praktikal merasai pengalaman teknologi terkini secara nyata,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Muhammad Izz yang merupakan pelajar Tahun 2 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian UTeM berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut telah menyediakan kit STEM seperti drone, kereta solar, dan pen pencetak 3D kepada pelajar sekolah, memperluaskan lagi peluang pembelajaran mereka.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Dr. Nadlene Razali menyatakan pendidikan STEM merupakan elemen berharga yang dapat mencorak kehidupan lebih cemerlang kepada mereka untuk menghadapi masa depan.

“Dengan sokongan jitu dan berterusan menerusi pendidikan STEM juga menjadi dimensi yang mampu mengangkat komuniti orang asli mencapai kesetaraan dan kemakmuran kemajuan sama dengan masyarakat di luar sana, katanya lagi.

Sementara itu, mewakili pihak Sekolah Kebangsaan Batu 14, Penolong Kanan Pentadbiran, Sarina Metuhu mengucapkan terima kasih kepada UTeM kerana menjayakan program bagi membuka minda pelajar mereka tentang kepentingan pendidikan STEM.

“Pendedahan sebegini mengajar para pelajar kami makin mengerti kepentingan STEM dalam konteks keupayaan untuk berfikir secara logik dan analitis lalu pengalaman ini turut membantu dalam kehidupan seharian pada masa kini dan tentunya pencorakan kecemerlangan di masa depan,” katanya.

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara FTKM, Persatuan Pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (MeTECH), Makers@UTeM, Pusat Kolaborasi RICE UTeM, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan warga Sekolah Kebangsaan Batu 14 Tapah. – MalaysiaGazette