Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Firma-firma audit digesa untuk mempergiatkan usaha mereka untuk mencapai prestasi yang konsisten merentas semua tugasan audit Entiti Kepentingan Awam (PIE).

Gesaan itu dibuat oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang telah mengeluarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2023, yang memberikan pandangan tentang pengawasan AOB terhadap juruaudit PIE.

Setiap tahun, AOB memeriksa sembilan Firma Audit Utama, yang secara kolektif mengaudit 78% daripada jumlah keseluruhan Syarikat Tersenarai Awam (PLC), iaitu 95% daripada jumlah permodalan pasaran PLC di Malaysia.

Sembilan Firma Audit Utama tersebut juga secara kolektif mengaudit 1,188 kumpulan wang jadual (SF) dengan nilai aset bersih (NAB) sebanyak RM675 bilion, iaitu 97% daripada jumlah NAB SF di Malaysia.

Pemeriksaan AOB pada tahun 2023 termasuk penilaian 50 rakan kongsi dan 50 tugasan audit merentas 15 firma audit, termasuk sembilan Firma Audit Utama.

Menurutnya, berdasarkan keputusan pemeriksaan AOB, terdapat sedikit peningkatan dalam prestasi juruaudit pada tahun 2023.

AOB mencatatkan penurunan dalam peratusan tugasan yang diperiksa yang disalurkan untuk penguatkuasaan, kepada 16% pada tahun 2023 daripada 18% pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan keseluruhan dalam tugasan yang memerlukan langkah pemulihan khusus, iaitu perkara yang diawasi oleh AOB dengan teliti.

Laporan itu juga menekankan kepentingan membangunkan bakat dan menangani kebimbangan beban kerja kakitangan untuk mengekalkan audit berkualiti tinggi secara konsisten.

Kualiti audit merupakan tanggungjawab bersama, justeru AOB terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk memacu penambahbaikan dalam ekosistem pelaporan kewangan.

Keberkesanan usaha ini diserlahkan oleh kedudukan teratas Malaysia dalam Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) CG Watch bagi kategori Juruaudit dan Pengawal Selia Audit untuk tiga penilaian berturut-turut, termasuk pada tahun 2023.

Kedudukan tinggi dalam kategori tersebut adalah kerana markah Malaysia untuk pemantauan audit, pembinaan kapasiti dan penguatkuasaan.

AOB juga telah dikreditkan kerana menyediakan pendedahan yang baik tentang aktivitinya, termasuk pemeriksaan dan data, penerangan serta hasil penguatkuasaan. – MalaysiaGazette