Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

KUANTAN – Pembangunan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027, dilihat sebagai pemangkin utama kemajuan ekonomi di Pahang. Ketua Unit Strategi MRL, Mohd Zaidi bin Sharif, menegaskan projek ini akan membawa perubahan besar kepada sosio-ekonomi negeri tersebut.

Sesi rundingan awam yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama pemain industri sektor logistik negeri Pahang dan Malaysia Rail Link (MRL) di Kuantan hari ini, menyaksikan komitmen MRL dalam memastikan ECRL memberi impak positif kepada pembangunan kawasan terlibat. MRL menyatakan, projek ini bukan sahaja akan meningkatkan jaringan hubungan antara negeri, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan dalam kalangan pemain industri, terutamanya sektor logistik, bahawa pembangunan ECRL mungkin memperlahankan aktiviti pengangkutan darat.

Mereka bimbang perubahan kepada perkhidmatan rel terutamanya pengangkutan barangan dari Pelabuhan Kuantan ke destinasi lain akan memberi kesan negatif kepada operasi logistik sedia ada.

Setakat ini, projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 68.68%, melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor.

MRL juga menekankan bahawa projek ini akan membuka peluang besar bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah Hj. Hassan melihat sesi rundingan awam ini perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan input dan informasi yang tepat dapat disampaikan kepada golongan yang terkesan.

Kewujudan ECRL ini dapat meningkatkan kecekapan sektor logistik dan pengangkutan seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi sektor perkhidmatan di Pahang.

MPC mensasarkan peningkatan kepada 60% sumbangan sektor perkhidmatan melalui industri logistik kepada KDNK negeri. MPC Pahang menyokong penuh pembangunan berteknologi tinggi ini yang dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing negeri Pahang.

Sesi rundingan awam tersebut turut dihadiri oleh wakil industri tempatan termasuk Pengerusi Gebeng Industrial Support Group (GISG), Pengerusi REHDA Pahang, dan Presiden FMM Wilayah Timur, yang semuanya memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast