JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan pencapaian cemerlang dengan mendapat kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun 2023, melepasi sasaran RM53.5 bilion yang ditetapkan, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau 3 peratus.
Bagi tahun 2024 pula, Kementerian Kewangan telah menetapkan sasaran kutipan JKDM sebanyak RM56 bilion. Adalah dijangkakan bahawa sasaran kutipan ini juga mampu dicapai jika pegawai JKDM mampu menjalankan tugasan mereka seperti sediakala dan bebas dari ketirisan.
Bagaimanapun, ada isu berbangkit bila akhir-akhir ini berlaku pertembungan antara PTD lantikan dengan pegawai tinggi kastam. Agensi penting seperti kastam ini wajar diterajui oleh pegawai berpengalaman dari warga kastam sendiri yang selama ini menjadi cabangan kutipan hasil yang menjana pendapatan negara.
JKDM merupakan agensi pengutip hasil penting negara. Malang jika berlaku pertembungan antara pegawai-pegawai kastam dengan PTD kerana ia boleh merencatkan hasil negara. LHDN mampu memacu hasil yang berlipat ganda bila diterajui oleh orang yang berpengalaman dan benar-benar faham selok-belok jabatan berkenaan.
Sepatutnya kerajaan perlu memperbetulkan balik apa-apa kesilapan yang berlaku dalam hal kemasukan PTD lantikan dan menyerahkan jawatan Ketua Pengarah Kastam kepada warga kastam yang sudah tentu berpengalaman dalam urusannya.
Dahulu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pernah diterajui oleh seorang Ketua Pengarah dari pegawai PTD bernama Dato Hassan Ibrahim yang telah membawa masalah besar kepada agensi berkenaan sehingga kerajaan memutuskan untuk menyerahkan balik jawatan tersebut kepada warga LHDN.
Sehingga kini LHDN memancu pendapatan hasil yang berlipat ganda bila diterajui oleh orang yang berpengalaman dah faham selok belok jabatan berkenaan. Begitulah juga lantikan ketua pengarah di agensi penting lain seperti JKDM yang perlu dari kalangan pegawai dalamannya.
Masalah akan cepat timbul dalam organisasi yang boleh merosakkan moral dan semangat kerja dalam kalangan pegawai organisasi bila orang luar seperti pegawai PTD dilantik mengetuai organisasi ini. Jika tidak diatasi segera, pertembungan yang berlaku boleh menjejaskan prestasi organisasi.
Bila ketua sesebuah agensi bukan datang dari orang dalam, sebaliknya datang dari orang luar, ‘personal touch’ atau sentuhan peribadi serta pemahaman ke atas budaya kerja agensi tersebut tidak ada, ini boleh membawa kepada beberapa impak negatif ke atas agensi tersebut.
Antaranya termasuklah keputusan yang dibuat tanpa memahami sepenuhnya nuansa dan dinamika agensi tersebut, apa lagi jika tidak disertakan libat urus dengan mereka terlibat, yang boleh menyebabkan kekurangan kepercayaan dan kerjasama daripada kakitangan sedia ada.
Selain itu, ketidakserasian dalam pendekatan kerja seperti cubaan memperkenalkan pendekatan baharu yang tidak dirundingi juga boleh mengurangkan kecekapan operasi dan menimbulkan ketegangan seterusnya menjejaskan produktiviti dan moral keseluruhan agensi tersebut.
Pertanyaan akan timbul mengapa seperti wujud konfrontasi antara ketua pengarah yang datang daripada agensi luar dengan Timbalan Ketua Pengarah yang datang daripada dalam JKDM sendiri sehingga menyebabkan moral dan semangat kerja pegawai-pegawai boleh terjejas.
Soal-soal seperti pemusatan kuasa kepada ketua pengarah dan peminggiran timbalan ketua pengarah dari Skim Kastam adalah isu-isu yang boleh menjatuhkan maruah dan semangat kerja pegawai-pegawai dari Skim Kastam serta boleh menjejaskan usaha meningkatkan hasil ekonomi negara.
Ringkasnya, pemerkasaan organisasi seperti JKDM memerlukan satu elemen penting diperbetulkan, iaitu dengan menyerahkan jawatan ketua pengarah Kastam kepada warganya. Jika ini tidak berlaku maka apa-apa usaha pemerkasaan organisasi akan sukar mencapai matlamatnya.
Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.