Proton melantik Sirim QAS International sebagai makmal berakreditasi mereka bagi komponen automotif. Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, terdapat peningkatan kesedaran terhadap aspek kualiti dan keselamatan dalam industri automotif. Untuk memastikan setiap komponen automotif memenuhi piawaian terbaik, syarikat pengeluar kenderaan berkerjasama dengan makmal khusus untuk pengujian tersebut. Jaminan kualiti dalam sektor automotif turut merangkumi proses reka bentuk, pembuatan dan penghantaran kenderaan. Sektor yang kompetitif ini semestinya mempunyai jangkaan kepuasan pelanggan yang tinggi terhadap kualiti dan keselamatan produk. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil supaya ia dapat memenuhi peraturan dan undang-undang dalam memastikan kepuasan pelanggan terjamin.

Salah satu pencapaian terbesar Sirim M QAS International Sdn. Bhd. adalah apabila dilantik oleh Proton sebagai makmal berakreditasi mereka bagi komponen automotif untuk Proton dan Geely. Perlantikan ini membuktikan kemajuan yang besar dalam usaha meningkatkan kredibiliti dan daya saing produk automotif di pasaran global. Makmal Kimia, Polimer dan Komposit (CPCT), SIRIM telah menjalankan penilaian yang rapi bagi memastikan pematuhan piawaian terhadap Pengurusan Makmal Pengujian Pihak Ketiga Proton dan Geely yang ketat serta pensijilan MS ISO/IEC 17025 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalha Rahmat

Ketua Bahagian Kimia, Polimer dan Komposit (CPCT), Jabatan Perkhidmatan Pengujian di SIRIM QAS International Dalha Rahmat berkata, akreditasi ini adalah bukti komitmen SIRIM QAS International ke arah kecemerlangan dan meningkatkan daya saing di dalam industri. Dengan memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh Proton dan Geely, SIRIM QAS International telah mengukuhkan kedudukannya sebagai makmal berakreditasi yang dipercayai untuk industri automotif, sekaligus mampu menyediakan perkhidmatan ujian yang boleh dipercayai.

“Ia bukan sahaja mengesahkan kepakaran teknikal kami, ia juga membuktikan dedikasi kami untuk mengekalkan standard kualiti yang terbaik dalam industri,” kata Dalha. Kerjasama ini secara tidak langsung akan mengubah landskap industri automotif melalui penawaran pelbagai faedah yang dapat memberi manfaat kepada rantaian bekalan secara menyeluruh. Selain jaminan kualiti, kolaborasi ini juga dapat menyemai keyakinan pengguna dan memudahkan akses ke pasaran global. Dengan kolaborasi ini, SIRIM bersedia untuk menetapkan penanda aras baharu dalam bidang ujian dan pensijilan automotif.

Proton Holding Sdn Bhd berkata, ini merupakan salah satu inisiatif yang menyokong janji PROTON untuk kembali memperoleh keuntungan dan untuk berada di tangga pertama di Malaysia dan dalam kalangan tiga tangga teratas di ASEAN.

Kemudahan ujian CPCT SIRIM menawarkan rangkaian perkhidmatan komprehensif di bawah satu bumbung yang merangkumi:
● Ujian Pecutan Luluhawa
● Ujian Mekanikal/Fizikal
● Ujian Bahan
● Ujian Haba
● Ujian Penuaan
● Ujian Kimia
● Ujian Kakisan
● Ujian Kebolehpercayaan

Dengan keupayaan canggih yang dapat memudahkan proses pengujian yang menjimatkan masa, SIRIM QAS International dapat menyokong pembangunan dan inovasi produk dengan membantu pengeluar automotif menguji bahan dan menilai teknologi baharu dengan cekap. Usaha ini sejajar dengan komitmen SIRIM QAS International terhadap pematuhan piawaian dan memberikan penambahbaikan yang berterusan serta pematuhan kepada amalan terbaik. Selain meningkatkan kredibiliti dengan memenuhi spesifikasi Proton dan Geely, akreditasi ini dapat mengukuhkan kepercayaan terhadap kualiti, prestasi, dan perkhidmatan yang disediakan.

Kini, Proton dan Geely semakin maju berinovasi untuk mencapai kecemerlangaan baharu, dan SIRIM QAS turut serta bersedia untuk berkerjasama dalam jangka masa panjang. Dengan kerjasama ini, industri automotif tempatan mampu mencapai kecemerlangan yang bertaraf dunia. Dengan memanfaatkan kepakaran dan kredibiliti terkenal SIRIM dalam pensijilan, ujian dan jaminan kualiti, hubungan perniagaan ini bertujuan untuk menyediakan akses pasaran bagi pengeluar dan vendor automotif yang ingin menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast