Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) memberi jaminan bahawa sistemnya kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya meskipun terdapat dakwaan pangkalan data Maybank2u diterbitkan di forum laman web gelap.

“Bagaimanapun, kami mengambil serius atas kebimbangan keselamtan ini dan terus memantau serta memastikan data kami dilindungi setiap masa,” katanya dalam platform rasmi media sosial X, atau dahulunya Twitter, hari ini.

Maybank, bank terbesar mengikut aset di negara ini berkata, transaksi dalam talian pelanggannya terus dilindungi, dengan pelbagai langkah membasmi penipuan dilaksanakan, termasuk penggunaan Secure2U bagi mengesahkan transaksi serta tempoh masa agak panjang melibatkan transaksi berisiko tinggi.

“Kami ingin mengingatkan pelanggan untuk terus berwaspada dan melindungi maklumat mereka.

“Sila pastikan ID Pengguna, kata laluan dan butiran peribadi anda selamat, dan berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp, laman pancingan data dan panggilan telefon yang meminta bukti kelayakan anda,” katanya.

Terdahulu hari ini, platform dalam talian  Lowyat.Net melaporkan bahawa pangkalan data yang didakwa mengandungi 22 juta maklumat pelanggan bank itu telah dijual di pasaran web gelap yang popular.

“Pemuat naik itu ‘meminta’ bayaran US$18,000 (US$1=RM4.6720) dalam Tether/Bitcoin untuk pangkalan data itu, yang didakwa mengandungi antara lain nama dan kata laluan pelanggan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast