Petugas-petugas kesihatan sedang memberikan rawatan kepada murid-murid SK Pulau Gaya.- Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR- Nasi lemak mungkin menjadi punca kepada kes keracunan makanan yang melibatkan lebih 100 murid di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak terbabit memakan nasi lemak kira-kira jam 9.50 pada hari kejadian.

Selepas itu, pejabat Kesihatan Kota Kinabalu dimaklumkan oleh klinik-klinik dan hospital kerajaan berhubung kejadian keracunan makanan di sekolah terbabit kira-kira 2.09 petang hari yang sama.

Bagaimanapun katanya, sejarah penuh pergerakan serta pendedahan pelajar terhadap sebarang makanan masih dalam siasatan.

Tambahnya, kejadian itu melibatkan 103 orang murid.

“Mereka menunjukkan simptom seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala.

“Lapan murid terpaksa ditahan di wad manakala 95 lagi menerima rawatan pesakit luar.

“Murid berusia di antara enam hingga 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya Isnin lalu, Dr Asits berkata, operasi kantin dan Rancangan Makanan Tambahan kepada pelajar tidak berkemampuan digantung sementara sehingga siasatan selesai.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN