Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Pengurangan pinjaman hanya mengurangkan peningkatan hutang negara tetapi tidak mengurangkan jumlah hutang itu sendiri.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang membuat penjelasan berkaitan hutang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia terbukti apabila hutang negara telah meningkat dari RM1.17 trilion pada tahun lalu sehingga RM1.22 trilion pada akhir April 2024.

“Menurut data yang dikeluarkan oleh Anwar sendiri, jumlah pinjaman kerajaan telah berkurang dari RM100 bilion pada tahun 2022 dan RM93 bilion pada tahun 2023, kepada RM86 bilion tahun ini.

“Namun, saya mahu memberitahu beliau bahawa dari tahun 2022 hingga 2024, peningkatan hutang adalah sebanyak RM279 billion,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, Anwar tidak sepatutnya berbangga dengan data yang dikemukakannya baru-baru ini kerana ia menunjukan kerajaan yang dipimpinnya tidak dapat memberikan solusi efektif dalam memulihkan ekonomi negara.

“Apakah dengan meminjam wang yang lebih sedikit, ini menunjukkan kemampuan pengurusan kewangan yang luar biasa? Pinjaman kurang tidak akan mengurangkan hutang negara, kecuali anda sama sekali tidak berhutang dan membayar hutang tepat pada waktunya, barulah hutang negara akan berkurang,” katanya.

Jelas beliau, nilai hutang negara tidak akan berganjak selagi kerajaan mengalami defisit fiskal dan menampung perbelanjaan negara yang lain.

“Kerajaan masih perlu berhutang untuk menampung penyesuaian gaji penjawat awam, kerajaan juga memerlukan pinjaman untuk melabur dalam perbelanjaan pembangunan asas, seperti pembinaan hospital, sekolah, jalan raya, infrastruktur, dan perkhidmatan awam.

“Anwar berkata, kerajaan yang dipimpinnya perlu membayar semula RM46 bilion hutang negara setiap tahun, tetapi dia lupa, jika dia tidak dapat melunaskan hutang yang diambil selama tempoh jabatannya, hutang yang tertinggal harus ditanggung oleh penerus negara di masa depan,” tambah beliau.

Katanya lagi, Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada 15 Julai 2024 mengatakan, dari Januari hingga April 2024, hutang kerajaan telah meningkat sebanyak RM50 bilion.

Sehubungan itu Dominic berkata, selagi negara tidak membuka sumber pendapatan dan mengurangkan pengeluaran, bagaimana hutang negara boleh dikurangkan.

Anwar baru-baru ini berkata, kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.

Katanya, langkah jangka pendek bagi meningkatkan keupayaan kewangan negara selain menurunkan defisit serta menambah kutipan hasil, yang penting untuk dilaksanakan kerana Malaysia ketika ini mewarisi kadar hutang yang tinggi.

Jelas beliau, pendapatan negara juga agak terhad kerana Malaysia mempunyai asas cukai yang rendah dan antara yang terendah di rantau Asia.-MalaysiaGazette

Kerajaan komited kurangkan pinjaman tahunan – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast