Kemalangan maut membabitkan motosikal berkuasa tinggi dan kereta di Lebuh Raya Karak (menghala Gombak) awal pagi ini.

GOMBAK – Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kereta di Kilometer 22.8 Lebuh Raya Karak menghala ke Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pada jam lebih kurang 1 pagi, pihaknya telah menerima makluman mengenai kemalangan tersebut.

“Pasukan bergegas ke lokasi nahas sebelum pemeriksaan mendapati  seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala dua lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Ariffin, siasatan mendapati sebuah kereta Proton Exora dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dalam perjalanan dari Jerantut menghala ke Dengkil menyedari kenderaannya dilangar dari belakang.

Kereta yang dipandunya dilanggar oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang ditunggang oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun.

“Motosikal yang ditunggang mangsa telah jatuh atas jalan raya dan bergesel dengan dua buah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang ditunggang oleh dua orang lelaki warga tempatan berumur 46 tahun dan 27 tahun,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-331 1552 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-612 62222. -MalaysiaGazette