Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan segera mengenai siasatan termasuk pendakwaan berkaitan jenayah dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menumpukan usaha untuk mengekang kadar jenayah siber yang semakin membimbangkan di platform media sosial.

“Tiga perkara yang paling membelenggu rakyat Malaysia yang menjadi masalah aspek jenayah dalam talian adalah masalah scam, masalah buli siber dan juga jenayah seksual terhadap kanak-kanak khususnya paedophilia.

“Ketiga-tiga ancaman kepada keselamatan rakyat ini adalah perkara yang kita lihat tidak boleh dibenarkan berlarutan,” kata Jurucakap Kerajaan Madani itu ketika sidang media hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkata, Facebook antara medium media sosial yang sering disalahguna penjenayah untuk memperdaya rakyat negara ini melalui jenayah scam.

Ujarnya, jumlah kerugian rakyat yang ditipu daripada dalam talian di Facebook adalah antara RM8 juta hingga RM132 juta.

Tambah Fahmi, tahap kepatuhan pengendali platform media sosial terhadap undang-undang Malaysia merekodkan kadar yang berbeza.

Menurut beliau, Facebook mencatatkan kepatuhan sebanyak 85-peratus, Instragram 88 peratus , Aplikasi Whatsapp 79 peratus dan Tiktok  76 peratus.

Manakala Telegram dan X masing-masing 65 peratus dan 25 peratus didapati gagal mengambil sebarang tindakan pantas terhadap jenayah siber di negara ini.

“Tahap pematuhan platform ini semua berbeza, ada yang ambil tindakan segera, ada yang langsung tidak patuh. Ada yang lambat bertindak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pengendali platform media sosial di Singapura untuk bangkitkan isu jenayah siber setiap platform.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast