Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Sektor korporat disaran supaya menyokong menyertai lelongan kredit karbon daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (Projek Kuamut) di Sabah.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia merupakan kredit karbon keluaran Malaysia yang pertama dilelong di bawah, Bursa Carbon Exchange (BCX) yang akan berlangsung esok.

Projek ini telah dinilai dan diiktiraf sebagai kredit karbon ex-ante yang tinggi (dengan
penilaian “Ae”) oleh syarikat penilaian antarabangsa, BeZero.

Lelongan ini juga bertujuan untuk membantu mengenal pasti harga pasaran bagi kredit karbon yang dijana di Malaysia, serta sebagai isyarat harga yang jelas untuk bakal pemaju projek yang ingin terlibat dalam inisiatif kredit karbon hutan di Malaysia

Jelas beliau, penyertaan badan korporat untuk melabur dalam kredit karbon merupakan Langkah yang kukuh dalam merealisasikan aspirasi nasional bagi memupuk kerjasama awam dan swasta demi menangani isu perubahan iklim.

Ujar Nik Nazmi, syarikat-syarikat yang membeli kredit karbon berkenaan secara tidak langsung menyumbang kepada pemeliharaan hutan semula jadi, pemeliharaan biodiversiti, membantu menangani perubahan iklim, serta menjana peluang ekonomi dan pekerjaan hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Melalui sebuah proses yang telus dan sah, inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan terhadap kelestarian, pematuhan kawalselia dan tanggungjawab sosial korporat bagi menjamin manfaat yang benar (genuine) kepada pemeliharaan alam sekitar diperoleh.

“Melalui inisiatif oleh BCX ini juga, sokongan terhadap pasaran karbon Malaysia yang sedang membangun ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan projek-projek karbon dalam negara, sekaligus memupuk budaya inovasi dan amalan lestari,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaburan sektor korporat dalam kredit karbon akan dapat memperkasakan lagi jenama masing-masing, sekali gus mencerminkan golongan korporat sebagai peneraju di dalam pasaran karbon negara disamping menjamin masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast