MELAKA – Seorang penolong pegawai tadbir di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,700 daripada sebuah syarikat pengiklanan sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Ab Aziz, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, Penolong Pegawai Tadbir (Kompetensi) Gred N29 itu telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,200 tanpa balasan.
Ia diterima daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong yang diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerjas rasmi tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Oktober 2021.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM500 bagi daripada individu dan syarikat sama di lokasi sama antara 15 hingga 31 Januari 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan pasport disimpan selamat mahkamah sehingga kes selesai.
Muhammad Firdaus yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 Ogos bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette