MELAKA – Isu kekurangan hasil tangkapan ikan di Pantai Puteri,Pantai Kundor yang membelenggu kira-kira 300 nelayan di kawasan itu bakal selesai selepas 20 tukun tiruan akan dilabuhkan di perairan pantai nelayan tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, tukun rekaan khas untuk perairan itu telah mendapat kelulusan SIRIM Berhad dalam menghasilkan formula bahan seramik yang selamat untuk persekitaran marin di situ.
“Ia selepas kajian yang dijalankan sekumpulan profesor dan penuntut Universiti Putra Malaysia pada awal 2023 selama sebulan menemui beberapa faktor berlakunya kekurangan ikan di perairan Pantai Kundor sehingga menerima rungutan nelayan.
“Kajian itu telah dijalankan di sepanjang kawasan Pantai Puteri hingga ke muara Sungai Lereh dan mendapati, sumber makanan ikan seperti plankton dan sebagainya sudah hampir pupus menyebabkan ikan di sini semakin berkurangan,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Tuminah, beliau sudah membawakan permasalahan itu ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pertengahan tahun lalu
“Sepatutnya, 20 tukun berukuran satu meter tinggi dan satu meter lebar dengan berat 700 kilogram setiap satuini dilabuhkan pada akhir bulan lalu tapi ada isu dari segi perundangan yang perlu diselesaikan dahulu.
“Saya amat positif apabila tukun ini dilabuhkan kelak, ia dapat membantu pembiakan ikan di perairan ini, sekali gus membawa sinar baharu kepada nelayan untuk menjana pendapatan hasil laut seperti dinikmati sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette.