Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan . Foto SYADILA AMARI, 26 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok.

“Ya, suspek akan dituduh pagi esok (Jumaat) di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi, hari ini.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai kira-kira 6 petang pada 15 Julai di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette