Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersorak bersama Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan sekiranya berlaku pemilihan dalam jawatan tertinggi parti itu, maka akan berlaku perpecahan dalam parti.

Beliau yang enggan dikenali, perkara itu pernah berlaku dalam UMNO yang mana parti itu berpecah belah ketika pemilihan parti itu pada 1987.

“Sebab bila ada pertandingan (dalam pemilihan), suka tidak suka akan berlaku perpecahan, tidak ada kita lihat setakat ini bertanding secara sihat dalam mana-mana parti pun.

“Mesti akan wujud kelompok-kelompok, banyak sudah dibuktikan, contoh UMNO berpecah pada 1987 pertandingan antara Ku Li (Tengku Razaleigh) dan (Tun Dr) Mahathir.

“Malah Pas pun berpecah sehingga lahirnya Amanah (Parti Amanah Negara), sebab pertandingan antara (Datuk Seri) Mohamad Sabu dengan (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, maknanya pertandingan dalam pemilihan bukan satu perkara yang sihat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahli MPT itu mengulas pertanyaan wartawan mengenai desas desus mengenai Datuk Seri Azmin Ali tidak bersetuju dengan pelan peralihan yang direncanakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Media sebelum ini melaporan Muhyiddin mahu Azmin mengisi jawatan Setiausaha Agung parti itu.

Bagaimanapun, terdapat desas desus bahawa Azmin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak jawatan Setiausaha Agung dan disebut-sebut akan merebut jawatan nombor dua parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Azmin perlu tahu bahawa jawatan nombor satu dan dua parti perlu disandang oleh mereka yang bergelar Ahli Parlimen.

Ini kerana kedua-dua jawatan itu sangat penting sekiranya terdapat perubahan kerajaan di saat-saat akhir, ujarnya.

“Cara terbaik untuk elak perpecahan dan terus memantapkan parti ialah dengan mematuhi cadangan Presiden parti. Akar umbi pun kena akur cadangan itu, untuk seketika ini, orang luar hanya nak tengok kita bergaduh sahaja

“Katalah (Datuk Seri) Azmin kekal hasrat mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, Presiden Ahli Parlimen , tiba-tiba timbalan bukan Ahli Parlimen

“Jika apa-apa terjadi kepada kerajaan hari ini, bagaimana. Dia (Azmin) tak layak jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Macam peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) kita faham, (minta dia tanding Naib Presiden) sebab dia pun bukan Ahli Parlimen lagi,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin memaklumkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu akan berundur daripada jawatan berkenaan bagi memberikan laluan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada pemilihan parti berkenaan yang dijadualkan Oktober ini.

Sementara jawatan Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu pula ditawarkan kepada Azmin. – MalaysiaGazette