Wartawan MalaysiaGazette membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru, Melaka pukul 3.32 petang tadi.

MELAKA – MalaysiaGazette membuat satu laporan polis terhadap seorang wanita dikenali Fatin yang mengaitkan portal berita ini setelah menerima imbuhan kononnya bagi mengeluarkan berita program agihan beras, Ahad lalu.

Laporan dibuat wartawan portal berita ini di Balai Polis Bukit Baru di sini pada pukul 3.32 petang tadi.

Menurut pengadu, perkara itu terdedah selepas dia menerima satu rakaman perbualan telefon antara Fatin dan seorang wanita yang bertanyakan tarikh keluaran berita berkenaan kira-kira 11.30 malam tadi.

“Dalam perbualan itu, Fatin mendakwa beliau sebagai wartawan kerajaan mempunyai kenalan untuk memastikan berita berkenaan keluar di beberapa portal termasuk akhbar arus perdana.

“Ia termasuklah mengaitkan nama saya sebagai satu-satunya wartawan MalaysiaGazette di Melaka seolah-olah saya bekerja di bawahnya sedangkan dia langsung tidak mempunyai kaitan dengan MalaysiaGazette,” katanya.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar sekali gus bagi mengelakkan nama MalaysiaGazette disalah guna untuk kepentingan peribadi.

“Saya hendak membersihkan nama saya dan tidak mahu MalaysiaGazette digunakan wanita itu untuk mendapatkan bayaran atau memperdayakan mangsa lain,” tambahnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan itu.

Terdahulu, sebelum ini syarikat media rasmi Kerajaan Negeri, Melaka Hari Ini Sdn Bhd, mengingatkan pihak penganjur program dan orang ramai membuat semakan apabila didatangi individu yang memperkenalkan diri sebagai wartawan atau wakil daripada Melaka Hari Ini (MHI).

Peringatan itu adalah susulan laporan individu tertentu yang mengaku sebagai wartawan MHI dan meminta bayaran bagi tujuan hebahan sebuah program agihan bantuan kepada golongan asnaf baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast