Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melakukan gimik perasmian Majlis Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 142,510 individu telah diberikan pelepasan daripada senarai bankrap, sekaligus melepasi sasaran ditetapkan seramai 130,000 orang selepas Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 berkuat kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merupakan satu pencapaian baik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memberi peluang kedua kepada golongan tersebut.

Menurut beliau, kejayaan itu juga membolehkan mereka untuk meneruskan kehidupan dan memulihkan semula perniagaan bagi memacu ekonomi negara.

“Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung, tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi.

“Saya tegaskan dalam sejarah sejak merdeka sampai sekarang belum pernah mana-mana kerajaan yang boleh melepaskan seramai ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2024.

Beliau berkata berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalannya, M Kulasegaran; Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh serta Ketua Pengarah Insolvensi, Bakri Abd Majid.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Dasar Peluang Kedua sebagai inisiatif membela nasib rakyat dengan jumlah hutang berskala kecil untuk dilepaskan daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lalu berkata ,dasar berkenaan akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan merupakan langkah terbaik agar golongan terbabit tidak mengulangi kesilapan lalu.

Kata beliau, selain itu mereka juga dapat memahami peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional, Majlis Amanah raya dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

“Kadang-kadang muflis ini mungkin kesalahan kecuaian dia atau keadaan ekonomi, terkesan kerana tempoh Covid-19 atau sebelumnya disebabkan kelembapan ekonomi yang menjejaskan kedudukan mereka atau kesilapan peniaga.

“Tetapi tanggungjawab kita untuk meransang ekonomi dan memberi pelaung kedua sebagai langkah awal menjadi Malaysia mampu berdaya saing dan maju dengan ada beberapa langkah proaktif pimpinan kerajaan.

“Sementara mereka boleh bernafas ini, kita ada suntikan Sumbangan Tunai Rahmah kepada 9 juta rakyat berjumlah RM10 bilion setahun yang boleh memberikan nafas sementara mereka jalankan perniagaan dan kegiatan baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2024.