Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, permohonan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) akan dibuka semula di semua Pejabat JPN bermula mulai Isnin depan.

JPN dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu boleh dibuat setelah ia ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah tersebut.

“Bagi yang telah membuat permohonan sebelum ini (mempunyai resit permohonan MyKid), namun cetakannya ditangguhkan, pemohon diminta untuk membuat pengesahan cetakan di portal rasmi JPN (www.jpn.gov.my).

“Sebelum hadir membuat kutipan di Pejabat JPN yang telah dipilih. Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai 2024 sehingga 31 Oktober 2024,” jelas JPN.

Selepas tempoh itu, JPN menjelaskan status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula.

Mei lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias berkata isu cetakan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 lalu dijangka dapat diselesaikan pada Julai secara berperingkat di seluruh negara.

Ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.

Pada Disember lepas, media melaporkan JPN sedang mencetak 160,000 MyKid yang tertunggak sejak Oktober 2023 dan akan diserahkan secara berperingkat sebaik sahaja proses cetakan selesai dan memberi jaminan isu MyKid tidak akan berulang pada tahun ini memandangkan JPN sedang melaksanakan proses perolehan bekalan sebanyak tiga juta MyKid bagi menampung keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast