Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

BATANG KALI – Polis percaya motif kematian Nur Farah Kartini Abdullah ada kaitan dengan perselisihan hubungan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Tambah beliau, pihak polis juga mempunyai cukup bukti untuk menuduh suspek pembunuhan itu di mahkamah.

“Kita dah selesai (siasatan) dan kita pun sudah mendapat arahan untuk membuat pertuduhan.

“Esok kita akan tuduh (suspek) di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Ketika ditemui selepas menghadiri Forum Jenayah Tak Mengenal Warna Kulit di Masjid Utama Batang Kali, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay.

Sebelum ini media melaporkan, Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette