Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Sekuriti (SC) menambah dua entiti serta individu dalam Senarai Peringatan Pelabur yang tidak diberi kebenaran di platform media sosial.

SC menjelaskan entiti yang tidak diberikan kebenaran di platform media sosial itu ialah ‘Sri Saham’ dan ‘Convenant Wealth’.

“Berhati-hati dengan skim pelaburan tidak sah yang ditawarkan melalui platform media sosial,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dalam senarai terkini itu juga, SC turut menambah entiti klon antaranya ‘Bursa Malaysia Group’ yang menyalahgunakan nama dan kelayakan Bursa Malaysia Bhd. yang merupakan sebuah bursa saham di bawah Kementerian Kewangan dan SC.

Ia juga menamakan tiga entiti klon berpotensi lain iaitu ‘Kenanga 424’, ‘Kenanga 0709’ dan ‘Kenanga 463’, yang menyalahgunakan nama dan kelayakan Kenanga Investors Bhd untuk menjalankan skim pelaburan haram melalui aplikasi sembang WhatsApp dan laman web.

Satu lagi entiti klon berpotensi yang disenaraikan, ‘One Solution Advisory’, yang menyalahgunakan nama dan kelayakan One Solution Advisory Sdn Bhd untuk tujuan yang sama.

Satu lagi entiti klon berpotensi yang disenaraikan, ‘One Solution Advisory’, yang menyalahgunakan nama dan kelayakan One Solution Advisory Sdn Bhd untuk tujuan yang sama.

Pihak kawal selia itu juga mengingatkan pelabur supaya berhati-hati dengan entiti klon berpotensi yang mungkin menyamar sebagai entiti sah.

Layari laman web rasmi SC untuk mendapatkan maklumat lanjut di www.sc.com.my/investor-alert. -MalaysiaGazette